Kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan mengalami masalah wang tunai pada Oktober ini kecuali Kongres meluluskan peningkatan had pinjaman persekutuan.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, semalam berkata kesimpulan itu dicapai berasaskan perbelanjaan semasa dan maklumat terkini yang sedia ada.
“Berdasarkan keadaan semasa, sumber kewangan sekarang dan langkah bagi menambah dana akan habis digunakan pada bulan depan,” katanya.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen, dengan Naib Presiden AS, Kamala Harris, berdiri di belakangnya.
Kongres menangguhkan peningkatan had hutang sejak 2019 dan tempoh itu menjadikan kadar keberhutangan negara mencecah AS$28 trilion (RM116.23 trilion).
Ia memaksa Perbendaharaan AS mengambil ‘langkah luar biasa’ untuk terus membiayai operasi kerajaan tanpa melanggar had ditetapkan.
Dalam surat kepada Speaker Kongres, Nancy Pelosi, Yellen memberi amaran bahawa jika siling tidak dinaikkan, AS tidak akan dapat memenuhi kewajipannya untuk pertama kali dalam sejarah negara.
Hutang dan defisit negara meningkat ketika pandemik COVID-19 selepas Washington meluluskan tiga rang undang-undang perbelanjaan besar bertujuan mengurangkan kerosakan akibat kesannya terhadap ekonomi.
Menaikkan had hutang tidak meningkatkan perbelanjaan tetapi hanya membenarkan Perbendaharaan AS membiayai projek yang sudah diluluskan oleh Kongres.
Tanpa kenaikan, AS boleh menghadapi masalah tunai yang tidak pernah berlaku sebelumnya.
Kongres kini sedang mempertimbangkan rancangan infrastruktur bernilai AS$1.2 trilion (RM4.99 trilion) selain rancangan perbelanjaan sosial besar-besaran bernilai AS$3.5 trilion (RM14.5 trilion), yang akan mendorong perbelanjaan lebih tinggi.
Ketika ini kedua-dua Dewan iaitu Kongres dan Senat dikuasai Parti Demokrat diketuai Presiden AS, Joe Biden, namun masih memerlukan sokongan anggota Parlimen Republik untuk menaikkan had pinjaman itu.
Setakat ini, parti pembangkang menyatakan mereka menentang cadangan itu.
Pada satu sidang media, Pelosi memberikan sedikit butiran bagaimana Demokrat merancang mendapatkan sokongan untuk kenaikan kadar siling itu dan menegaskan ‘ia harus terjadi’ walau apa pun berlaku.
Menaikkan had hutang menjadi isu bagi Kongres sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kebuntuan berlaku pada 2011 apabila S&P Global Ratings menurunkan kadar hutang negara AS lebih rendah daripada penarafan AAA.
Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/09/861660/akan-kehabisan-dana-menjelang-oktober