Perakuan
220 Ahli Parlimen mengenai calon pilihan mereka sebagai perdana menteri yang
dipersembahkan kepada Istana Negara beberapa minggu lalu, masih menjadi
perbualan sehingga sekarang.
Menurut
banyak laporan, Ismail Sabri mendapat 114 undi sedangkan ketua pembangkang
Anwar Ibrahim mendapat 105 undi. Berbagai spekulasi yang diutarakan termasuk
telahan bahawa Ahli Parlimen membuat pilihan mereka atas faktor perkauman. Di
satu pihak (Umno-Perikatan Nasional), majoriti Ahli Parlimen adalah Melayu dan
di pihak kedua (Pakatan Harapan) jumlah wakil rakyatnya hampir sama rata antara
Melayu dan bukan Melayu.
Antara kesimpulan dibuat ialah Anwar tidak diundi kerana dalam
kumpulan beliau (PH) terdapat ramai Ahli Parlimen bukan Melayu. Menurut
golongan wakil rakyat yang menolak presiden PKR itu, undi untuk Anwar sebagai
PM akan membawa ‘risiko’ kuasa kerajaan akan berada di tangan bukan Melayu.
Saya benar-benar berharap Ahli Parlimen kita, tidak kira sebelah
mana pun, tidak berfikir sedemikian kerana pandangan begitu amat merbahaya
untuk sistem demokrasi negara dan rakyat sendiri.
Tetapi sekiranya faktor ini menjadi pertimbangan dalam Ahli
Parlimen memilih Perdana Menteri, nyatalah Malaysia dan sekaligus kumpulan PH
yang mengandungi ramai Ahli Parlimen DAP (seramai 42 orang dan juga bukan
Melayu dalam PKR) mempunyai masalah maha besar untuk bergerak di masa akan
datang.
Faktor ini perlu ditangani oleh pihak PH (khususnya DAP) sendiri
kerana ia akan menjuruskan lagi negara ke arah perkauman yang lebih kronik, dan
sebelum ianya menjadi lebih serius, isu perkauman ini mesti ditangani dengan
segera.
Soalannya ialah bagaimana caranya? Persoalan ini terkait rapat
dengan isu yang dinyatakan diatas; Kenapa Melayu (termasuk Ahli Parlimen) tidak
sokong DAP.
Tak kenal maka tak cinta
Ada pepatah Melayu yang sering kita dengar, ‘tak kenal maka tak
cinta’. Ini membawa maksud ramai pengundi Melayu tidak begitu kenal dengan DAP,
pemimpin parti, atau calon-calon dari DAP.
Mereka kurang pasti apakah intipati perjuangan DAP sebenarnya.
Apa tujuan atau motif yang dibawa oleh ahli-ahli parti yang ramai dianggotai
oleh kaum Cina dengan sedikit kaum India dan cuma segelintir saja ahli Melayu,
Iban, atau Kadazan-Dusun-Murut (KDM) di dalamnya.
Parti yang rata-rata berpusat di kawasan bandar ini dikatakan
banyak membawa isu-isu yang berkisar dengan pendidikan, pembelajaran, dan
sumber kewangan sekolah jenis kebangsaan untuk kaum Cina sahaja. Lawan utama
DAP ialah MCA. Dari perspektif kaum Melayu, parti ini berjuang untuk mewakili
kaum Cina.
Sebagai contoh, bagaimanakah pemimpin DAP yang ramai berbangsa
Cina dan sedikit kaum India dapat membantu penduduk Melayu di bandar yang
majoritinya menginap di PPR?
Seperti yang diketahui, di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang
dimenangi DAP seperti Damansara, Puchong, Bangi, Kepong, Seputeh dan banyak
lagi, rata-rata dimenangi wakil rakyat bukan Melayu. Faktor utama di sebalik
kemenangan itu ialah bukan Melayu menjadi majoriti pengundi di kerusi-kerusi
tersebut.
Pengundi Melayu di kawasan-kawasan itu golongan minoriti. Jadi
fokus DAP dikatakan adalah kepada puak majoriti. Lagipun parti ini tidak
mempunyai ramai ahli-ahli Melayu, apa lagi pemimpin-pemimpin tempatan yang
berbangsa Melayu. Malah beberapa kerat yang ada di dalamnya kelihatan seperti
dipinggirkan.
Apakah program-program parti ini yang tertumpu kepada sesuatu
kaum sahaja dan tidak melibatkan masyarakat pengundi Melayu di bandar-bandar
yang disebutkan tadi?
Berlainan dengan keadaan di Singapura, di mana PAP, yang
mewakili semua kaum termasuk golongan Melayu, banyak melantik ahli-ahli Melayu
sebagai pemimpin masyarakat setempat walaupun Melayu adalah minoriti. Perbandingan
dalam kaedah dan program PAP dan DAP amat jauh berbeza, dari segi kepimpinan,
kewibawaan, penguasaan Bahasa Melayu serta tata-susila politik dan sosial
antara Lee Hsien Loong dan ketua DAP, misalnya.
Walaupun ramai yang berkata parti mereka itu asalnya dari rumpun
yang sama tetapi sekarang amatlah berbeza sekali.
Contoh yang amat ketara ialah sewaktu PH menang pada pilihan
raya yang lalu dan memerintah selama 22 bulan misalnya. Ramai menteri dari
kalangan DAP yang dilantik ke dalam kerajaan termasuk Menteri Kewangan itu
sendiri. Apakah langkah besar yang mereka buat? Cuma seperkara menonjol iaitu
satu firma konsesi tol yang mempunyai beberapa jalan tol di sekitar Lembah
Klang ingin menjual kembali konsesi tol mereka kepada kerajaan dengan harga
yang tinggi.
Ramai yang terpinga-pinga dan bertanya, untuk apa semua itu
dilakukan?
Pulau Pinang
Mari kita lihat negeri yang di tadbir oleh DAP, iaitu Pulau
Pinang.
Ramai yang berpendapat bahawa tumpuan utama kerajaan yang
dipimpin oleh DAP di sana terkait dengan projek yang kononnya dipanggil
pembangunan terowong bawah tanah dan tiga pulau selatan atau Penang South
Reclamation (PSR).
Konsesi untuk memajukan terowong dan tiga pulau ini dikatakan
ada kaitan dengan firma yang sanggup menjual kembali konsesi jalan tol mereka
kepada kerajaan pusat tadi.
Akhirnya, isu ini dikatakan menjadi salah satu sebab utama
kenapa kerajaan PH ditumbangkan oleh segolongan ahli-ahli politik Melayu dan
bukan Melayu, yang tidak mahu memihak kepada rancangan perniagaan DAP.
Dari sini, timbul persepsi merentasi kaum di Pulau Pinang bahawa
kerajaan DAP di Pulau Pinang tidak telus. Mereka dianggap mempunyai keutamaan
lain sehingga dan kurang perihatin dengan masalah orang ramai di Pulau Pinang,
termasuk kaum Melayu setempat yang akan terjejas dengan projek PSR.
Tentangan dari nelayan
Secara kebetulan pula kaum nelayan yang bergerak bersama Penang
Forum (NGO berbagai kaum) yang menentang projek PSR di Pulau Pinang ini ramai
dari kalangan Melayu, yang juga tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah.
Tentangan sebenar terhadap reklamasi pulau selatan (PSR) ini datangnya dari
banyak NGO berbagai kaum yang tidak senang dengan kerosakan yang akan melanda
alam sekitar. Puak nelayan cuma sebahagian kecil tapi penting.
Juga asas tambakan yang akan menggunakan pasir-pasir yang akan
dikorek dan diangkut dari negeri Perak, juga melibatkan kerosakan alam sekitar
di sana. Jelas, projek PSR itu dikatakan bukan sahaja merosakkan alam sekitar
di Pulau Mutiara dan Perak, tetapi juga merosakkan imej DAP di dua negeri itu.
Isu berikutnya yang menjadikan DAP tidak popular berkisar kepada
kelewatan projek. Dalam politik, isu-isu besar biasanya silih berganti, menjadikan
ramai pengundi lupa dan terpesong dengan isu-isu baru. Tetapi kelewatan
mencecah lapan tahun menjadikan isu terowong dasar laut dan projek PSR itu
kekal, nyata tidak berlalu, dan tidak pernah reda dari perhatian media.
Projek yang tidak siap-siap, tidak mendatangkan hasil ekonomi
kepada penduduk setempat. Apa lagi bagi menyempurnakan permintaan pengangkutan
awam yang sekarang ternyata telah gagal. Ia memberi gambaran bahawa kerajaan
DAP terpesong jauh dari tujuan asal dan tidak lagi mendapat keyakinan dari
rakyat Pulau Pinang itu sendiri.
Kesilapan demi kesilapan telah berlaku dalam menangani projek
gergasi yang hilang arah, objektif, dan matlamat asal iaitu memberi
pengangkutan awam yang terbaik untuk semua penduduk.
Akhirnya pengundi melihat kerajaan yang dipimpin oleh DAP itu
tidak cekap, tidak membantu penduduk setempat, gagal melaksanakan program
pembangunan yang mereka sendiri rancang dan tidak terhasil apa-apa dari
perbelanjaan yang dikeluarkan.
Yang melihat ini semua bukan sahaja pengundi Melayu tetapi
pengundi Cina dan India juga. Jadi bagaimana pengundi Melayu harus menilai
pencapaian yang dicanang oleh pemimpin DAP tadi?
Tambah lagi dengan keadaan sekarang, dalam keadaan politik yang
bercelaru, senang saja pemimpin parti lain ‘menangguk di air yang sudah keruh’
itu. Ahli PAS, contohnya, dengan lantang meminta kerajaan negeri membatalkan
rancangan terowong dan PSR. Sebelum ini mereka pernah tidak bersuara. Mereka
tidak jujur dan hanya mahu meraih sokongan sampingan.
Hilang keyakinan
Tujuan asal DAP untuk mendekati dan mendapat sokongan dari
pengundi Melayu tidak tercapai oleh kerana strategi politik mereka banyak yang
tersilap, hilang fokus, dan tidak menitik berat isu kemiskinan, serta
berlandaskan perancangan yang tidak teratur dan tidak dapat dilaksanakan.
Apa lagi apabila pengundi Melayu yang terkesan dan tertekan dari
perancangan PSR mereka.
Seperti juga kaum-kaum lain, simpati sesama kaum terhadap
ketidakadilan, tekanan, dan kehinaan amat tebal dan merentasi sempadan negeri.
Apa yang berlaku di Pulau Pinang memberi kesan simpati yang sama di Sarawak
atau Terengganu, misalnya, terutama kepada kaum yang sama. Melalui persepsi,
jelas mereka menolak parti yang terlibat.
Di sinilah letaknya kesilapan DAP yang memanjang itu. Lapan
tahun berjuang untuk isu sama yang hanya menimbulkan prasangka, keresahan, dan
rasa tidak puas hati masyarakat Melayu.
Kepercayaan adalah sesuatu yang amat dalam. Permulaannya ialah
dari keyakinan. Pengundi Melayu di seluruh negara dapat melihat dan mempunyai
persepsi tidak yakin dengan tindak tanduk pemimpin DAP.
Jadi bagaimana mereka mahu mempercayainya? Apa lagi untuk
memberi sokongan?
Justeru, DAP sekarang merasa perlu untuk bekerjasama dengan
kerajaan semasa dengan menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan
Politik (MoU-TPS) di Parlimen dua hari lepas.
Mungkin ini titik permulaan untuk parti ini menilai kembali
pendekatannya dalam menguruskan isu-isu kepentingan awam, khususnya yang
melibatkan golongan miskin dan tertindas, yang terdiri dari berbagai kaum
termasuk kaum Melayu juga, sama ada di bandar atau di desa.
Mereka harus lebih cekap dalam menangani kebimbangan rakyat,
khususnya tentang isu yang melibatkan periuk nasi golongan miskin, agar tidak
dilihat angkuh, tidak peduli, dan ‘terlebih pandai’.
Lihat kembali kepada PAP, bagaimana kaum Melayu di sana mendapat
peluang sama rata dan berdiri sama rendah dengan kaum-kaum lain. Bagaimana
negara itu berjaya membangunkan barisan pemimpin Melayu yang berintegriti serta
diterima oleh semua lapisan masyarakat dalam negara itu.
Mereka juga mampu meleraikan persepsi yang parti itu hanya
mementingkan warna kulit dan memilih bulu tertentu sahaja, secara berkesan.
Selamat Hari Malaysia, Malaysians.
Artikel ini adalah pandangan
penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.