Bekas Perdana Menteri, Najib Razak dilaporkan akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam waktu terdekat ini.
Selain beberapa portal hangat melaporkan berita berkenaan, perkhabaran di dalam UMNO juga mengesahkan perlantikan itu hampir pasti menjadi kenyataan.
Rata-rata dalam UMNO mengatakan perlantikan itu adalah pilihan yang tepat serta tidak dapat dielakkan dalam keadaan Ismail Sabri sendiri kurang pengalaman dalam pengurusan ekonomi.
Difahamkan juga Najib akan diberikan status menteri bersama perlantikannya sebagai Penasihat Ekonomi itu.
Perlantikan berkenaan selain susulan pertemuan Najib dengan Ismail Sabri dua hari lalu, ia juga dikatakan sebagai langkah tambahan oleh Perdana Menteri untuk menenangkan hati kumpulan kluster mahkamah dalam UMNO.
Ia berikutan mereka kurang setuju dengan susunan kabinet Ismail Sabri yang hampir 100 peratus adalah kitar semula daripada lantikan Mahiaddin Md Yasin sebelum ini.
Dalam kes ini, tindakan Ismail Sabri melantik Najib sebenarnya tidaklah menimbulkan apa-apa kesalahan kerana ia merupakan hak Perdana Menteri berbuat demikian.
Lagi pun dengan pengalaman Najib selama ini, benar seperti kata Nazri Aziz, amat rugi jika Ismail Sabri tidak memanfaatkan pengetahuan, pengalaman dan hubungan bekas Perdana Menteri itu yang tersangat luas dengan pelbagai pihak sama ada di dalam atau luar negara untuk kebaikan negara.
Setidak-tidaknya banyak ideanya yang selama ini hanya dicurahkannya melalui media sosial akan dapat dilaksanakan dan dilihat hasilnya.
Cuma, jika benar Najib diberikan status menteri bersama jawatannya itu, ia ternampak kurang sesuai serta seperti merendah-rendahkan kedudukan bekas Perdana Menteri itu.
Memberi Najib jawatan Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri yang hanya bertaraf menteri seolah-olah menyamakan beliau dengan Ahmad Faizal Azumu atau Peja yang sebelum ini dilantik Mahiaddin sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri, juga bertaraf menteri.
Ehhh…takkanlah Najib nak disamakan tarafnya dengan Peja?
Selain itu, memberi taraf menteri melalui jawatan Penasihat Ekonomi itu juga meletakkan Najib sama taraf dengan Mahiaddin yang baru dilantik oleh Ismail Sabri sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara atau MPN bertaraf menteri.
Ehhhhhhh – kali ini panjang sikit – takkan Najib nak disamakan dengan Mahiaddin yang gagal dan cuma mampu bertahan sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan saja?
Najib jauh lebih hebat daripada Mahiadrin dan tidak boleh disamakan sama sekali dengan Peja yang hanya sempat 11 hari menjadi Penasihat Khas, sebab itu memberinya jawatan berstatus menteri adalah suatu bentuk penghinaan kepadanya.
Najib mesti diberi kedudukan yang lebih tinggi daripada taraf menteri iaitu Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri bertaraf menteri kanan.
Jawatan dengan status menteri kanan itu khas untuk Najib saja, tidak pernah diberi kepada sesiapa sebelum ini dan tidak harus juga diberi kepada sesiapa yang laih selepas beliau.
Tambahan lagi, tindakan Ismail Sabri melantik Najib yang sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah dan sedang menunggu proses rayuan, harus diakui adalah suatu keberanian yang luar biasa yang tidak ramai pemimpin dunia lain mampu melakukannya.
Keberanian luar biasa itu semestinya dipadankan dengan jawatan yang ingin diberi kepadanya hendaklah berstatus luar biasa juga.
Sekadar memberi jawatan bertaraf menteri, bukan bertaraf menteri kanan, tidak menjadikan perlantikan Najib sebagai Penasihat Ekonomi itu sesuatu yang biasa dan tidak pula meletakkan Ismail Sabri yang berani melantiknya sebagai Perdana Menteri yang luar biasa. – ShahbudinHusin 10/09/2021.