Isu pegawai SPRM ditahan: Azam Baki wajar direhatkan sementara, kata PH

 


Majlis Presiden Pakatan Harapan berpandangan bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki wajar direhatkan buat sementara waktu dari tugas-tugas beliau.

Ini susulan penahanan reman tiga pegawai kanan SPRM yang didakwa atas salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap Datuk Hasanah Abdul Majid, Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

PH berkata, memandangkan isu tersebut telah mewujudkan persepsi amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri, satu kertas siasatan juga perlu dibuka.

“Siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan.

“Pada masa yang sama, Datuk Seri Azam Baki patut direhatkan sementara waktu sehingga siasatan penuh dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH Mohamad Sabu; DAP Lim Guan Eng; dan UPKO Madius Tangau.

Sementara itu, PH berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu-isu berhubung SPRM, serta mencadangkan langkah-langkah mereformasi institusi penting ini.

Pada 20 September lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bitkan seorang bekas ketua jabatan.

Dalam satu kenyataannya, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.