Dari Dato Hj Romli Ishak Fb.
Tanggal 5 September 2021, kita dikejutkan dengan sidang media
bersama sekelompok individu yang mendakwa mereka pemimpin parti akar umbi yang
turut dihadiri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) iaitu YB Dato’ Hj
Ismail Ahmad, Ketua Cabang Rasah, ADUN Labu merangkap Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar).
Sidang media ini diadakan semata-mata bertujuan mengkritik
kepimpinan YAB Menteri Besar selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN)
KEADILAN Negeri Sembilan.
Saya sebagai salah seorang penama yang disebut dalam kenyataan
media berkenaan merasa terpanggil untuk menjelaskan kedudukan sebenar parti dan
persepsi rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan hari ini.
Sejak mengambil alih kerajaan negeri pada Mei 2018, beberapa
cubaan telah dilakukan oleh kumpulan yang sama untuk menjatuhkan YAB MB
termasuk usaha untuk bekerjasama dengan UMNO.
Namun usaha mereka terhalang disebabkan kepimpinan YAB MB
didokong kuat oleh pimpinan PH negeri dan sebahagian besar pimpinan Cabang.
Isunya sama, pangkat, kedudukan, jawatan, projek dan hal-hal yang berkaitan.
Tidak ada langsung yang terkait isu rakyat, pembangunan negeri,
reformasi urus tadbir serta pengukuhan parti di peringkat Cabang dan Ranting.
Alasan yang diberi dalam sidang media dan dokumen yang disebarkan hanya sekadar
tuduhan dan kekecewaan peribadi yang langsung tidak melibatkan soal prinsip
perjuangan parti.
Jika dilihat, mereka yang tampil dalam sidang media tersebut,
semuanya berjawatan yang sewajarnya membantu mengukuhkan parti dan kerajaan
negeri, sebaliknya mengkritik kepimpinan parti dan YAB MB yang mereka sendiri
sebahagian daripada kepimpinan parti dan kerajaan negeri.
Parti dan kerajaan tidak tertegak dengan hanya keberadaan
seorang Pengerusi MPN dan Menteri Besar tetapi adalah kombinasi kepimpinan
semua pihak secara kolektif.
Alhamdulillah, beberapa tinjauan dan kajian umum yang dibuat
secara imperikal sejak Suku Pertama 2020 hingga yang terkini, Suku Kedua 2021,
sokongan rakyat semakin bertambah pada setiap tempoh suku tahun dan terkini,
melebihi 70% (approval rate) kepada kepimpinan YAB MB dan kerajaan negeri.
Sebagai parti yang berteraskan reformasi dan ‘Islah’,
tertubuhnya gara-gara fitnah dan adu domba, seharusnya pihak pengkritik sudah
matang dalam berpolitik. Budaya-budaya jelik dan bobrok ini seharusnya sudah
tidak wujud dalam parti keramat ini.
Namun kita agak terkilan dengan apa yang berlaku apabila
segelintir kecil pimpinan parti yang sanggup menabur fitnah sehingga
menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan YAB Menteri Besar, kerajaan
negeri dan parti di mata rakyat.
Ironinya, mengapa sidang media ini diadakan pada ketika Penggal
Keempat, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mula membuka tirai perbahasan pada
6hb September 2021?
Jelas tindakan ini menggambarkan niat buruk penganjur yang ingin
mengambil kesempatan memburukkan imej YAB MB dan parti dengan harapan tekanan
yang diberi akan menyebabkan berlaku peralihan sokongan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN), namun apa yang berlaku sebaliknya.
Tiada sebarang usul tidak percaya kepada YAB MB bahkan tidak ada
mana-mana ADUN termasuk pembangkang yang menyuarakan hilang kepercayaan mereka
kepada YAB MB. Ini jelas membuktikan bahawa dakwaan serta tuduhan liar tanpa
asas kelompok kecil ini sangat tersasar jauh sekaligus menyerlahkan niat mereka
yang sebenar.
KEADILAN Negeri Sembilan dan rakyat negeri ini harus terus
bangkit dari peristiwa ini untuk segera memacu negeri beradat ini agar gagah
mengangkat martabat rakyat dan negeri menjadi negeri yang ‘Makmur dan
Diberkati’.
Dato’ Hj Romli Ishak
Seremban, Negeri Sembilan