Gaduh sesama sendiri punca Timbalan Speaker gagal dilantik.
Sidang Dewan Rakyat untuk Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas (2021) yang bermula 13 September hingga 12 Oktober 2021 merupakan mesyuarat yang agak panjang, kira-kira 4 minggu.
Ini sudah semestinya memerlukan komitmen tinggi daripada Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengendalikan mesyuarat sebaiknya.
MUHAMAD TAQIUDDIN CHEMAN
Namun keengganan pihak kerajaan untuk menyegerakan pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dikosongkan oleh penyandang sebelum ini, Datuk Seri Azalina Othman Said adalah sesuatu yang tidak wajar.
Perkara ini juga tidak mematuhi peruntukan Peraturan (6) Peraturan Mesyuarat yang menyatakan secara jelas jika terdapat kekosongan bagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat harus membuat pemilihan bagi jawatan itu pada awal permulaan urusan mesyuarat dalam mesyuarat yang mula-mula sekali diadakan selepas daripada jawatan Timbalan Yang di-Pertua itu kosong.
Jawapan yang diberikan kerajaan untuk meminda Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelantikan dua Timbalan Speaker kepada tiga Timbalan speaker tidak menghalang supaya Timbalan Speaker kedua dilantik terlebih dahulu.
Pada minggu lalu, YB Datuk Azhar Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat ternyata tidak dapat mengendalikan perjalanan mesyuarat dengan hanya dibantu seorang Timbalan Speaker apabila terpaksa menggunakan Peraturan 7(3) Peraturan Mesyuarat, meminta Datuk Seri Azalina Othman Said mempengerusikan mesyuarat.
Sedangkan kekosongan Timbalan Speaker kedua boleh diisi bagi membantu Speaker melaksanakan tugas di Dewan Rakyat dengan lebih efisien dan teratur.
Maka dengan itu, Pemuda AMANAH mendesak agar pelantikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat disegerakan dengan menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat sedia ada selaras dengan semangat persefahaman reformasi parlimen yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan sebelum ini.
Kami juga ingin melihat kesungguhan di pihak kerajaan dalam menterjemah hasrat reformasi parlimen seperti yang dinyatakan dengan melantik Timbalan Speaker di kalangan pembangkang supaya kerjasama melaksanakan reformasi parlimen dapat dilakukan oleh kedua-dua pihak.
Janganlah mengheret permasalahan politik di kalangan parti di pihak kerajaan membantutkan usaha reformasi yang dipersetujui dan memadamkan kepercayaan rakyat kepada dewan yang mulia ini.
MUHAMAD TAQIUDDIN CHEMAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional