Belanjawan berisiko gagal jika tiada perbincangan dengan PH.Pakatan Harapan (PH) akan mengambil sikap berkecuali di dalam Belanjawan 2022 sekiranya terdapat perkara yang tidak dibincangkan oleh kerajaan dengan mereka.
Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, ini kerana dalam klausa Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dibincangkan, semua perkara mengenai perbekalan mestilah dibincang dan dipersetujui oleh PH.
“Hanya dengan itu kita boleh sokong. Kalau dia (kerajaan) tidak bincang dan tidak ada persetujuan, mungkin akan timbul bantahan atau kritikan terhadap perkara-perkara yang tidak termasuk dalam perbincangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Karangkraf, di sini pada Jumaat.
Kerajaan dan PH baru-baru ini menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU yang dimaktubkan itu merangkumi enam agenda iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, perjanjian Malaysia MA63 dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Mengulas lanjut, Noor Amin menambah, menerusi MoU ini juga, pembangkang memberi jaminan untuk tidak memanggil undi tidak percaya.
Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan PH terhadap kerajaan menerusi MoU itu juga banyak.
“Tetapi ini perkara-perkara yang dipersetujui buat masa ini dan kalau kita tengok dalam MoU ini, ada lagi ruang untuk rundingan selanjutnya terutama dalam perkara-perkara perbekalan.
“Ia mungkin tidak terperinci. Tetapi ia ada klausa tentang perkara-perkara berubah dari semasa ke semasa.
“Jadi, ada banyak lagi rundingan dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi, keadaan, ekonomi dan politik,” jelasnya.
Mengulas mengenai mengapa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak dilibatkan, Noor Amin berkata, semua parti dimaklumkan tentang rundingan terbabit.
“Cuma mungkin buat masa ini mereka mengambil sikap sama ada tunggu dan lihat atau sudah mengambil ketetapan untuk tidak mahu terlibat dalam rundingan,” jelasnya.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my