Bajet 2022 mesti utamakan kesaksamaan gender – Fuziah
Belanjawan 2022 wajar dijadikan bajet responsif gender memandangkan negara telah begitu ketinggalan dalam hal kesaksamaan antara lelaki dan wanita.
Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, beliau yang juga perwakilan rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Kementerian Kewangan telah mencadangkan beberapa pelan Gender Responsif Budget (GRB) dalam pertemuan pertama bersama Menteri Kewangan minggu lalu.
“Saya bawakan GRB dan ini diterima dengan baik oleh YB Menteri Kewangan. Kita harap ada penambahbaikan dalam menggubal bajet 2021
“Contohnya kita mahu rapatkan jurang luar bandar dan bandar, kita buat belanjawan yang hasilnya merapatkan jurang tersebut. GRB adalah alat yang kita boleh bawa masuk.
“Ianya bukan untuk wanita sahaja tetapi mengimbangi kesan kepada wanita, lelaki, anak perempaun dan anak lelaki. Misalnya kadang-kadang orang lihat bajet buat tandas awam, apa dia gender reponsif? kajian menunjukkan wanita yang berumur sakit lutut. Jadi tandas wanita perlu lebih banyak tandas duduk dan jumlah perlu lebih banyak, kerana wanita guna lebih banyak masa. Singki pula tak tinggi seperti tandas lelaki, juga ada singki untuk kanak-kanak.
“Jadi bajet itu melihat kepada keperluan,” katanya daam temubual bersama Lensa Parlimen bertajuk: “Bajet Responsif Gender, Apa rakyat Perlu tahu mengenai GRB?”, semalam.
Selain itu, katanya, GRB juga perlu untuk mengkaji keperluan-keperluan mengenai pendidikan seperti graduan yang didominasi wanita di Institusi Pendidikan Tinggi dan bagaimana perlu memperbanyak atau menarik minat kaum lelaki mengikuti pengajian.
“Lagi satu contoh, graduan wanita adalah 70% dari populasi sedangkan populasi adalah 50:50. Kita harus bertanya kepada anak lelaki kerana mereka 30% sahaja graduan. Kalau berkahwin dalam keluarga, itu timbul masalah. Kenapa anak lelaki kurang masuk ke IPT? Perlu diberikan satu bajet mengkaji dan insentif supaya anak lelaki juga ke IPT,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu lagi, Malaysia pernah mendapat bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam hal GRB tersebut pada 2005 tetapi akibat kurang kepekaan kerajaan BN, isu berkenaan dibiarkan berlalu begitu sahaja.
“Kalau kita bandingkan di negara lain seperti Australia sebagainya, PBB banyak membantu untuk mengarus perdanakan gender, kita ketinggalan.
“Pada 2004, 2005 PBB ada membantu Kementerian Wanita memulakan gender responsif. Malangnya kesilapan ketika itu apabila gender focus lens ini diberi amanah kepada pegawai tinggi dan mereka tiada masa untuk pergi latihan maka ia seolah-olah tertutup dalam lingkaran sejarah.
“Dalam MoU baru-baru ini saya bangkitkan GRB. Kita ketinggalan 15 tahun berbanding negara lain,” katanya.
Menurut Fuziah lagi, dengan termeterainya MoU kerjasama PN – PH dan Perdana Menteri pula berkata mengenai kesaksamaan gender maka pada tahun ini isu GRB perlu diutamakan.
Katanya, Malaysia amat ketinggalan dalam World Economic Forum 2020, Global General Gaps Index di mana Malaysia jatuh ke tangga 104 daripada 153 negara, dan hal berkenaan perlu diperbaiki segera.