Peluang
untuk Muhammad Sajjad bertaubat sentiasa terbuka – Idris Ahmad
KUALA BERANG – Peluang untuk Muhammad Sajjad Kamarul Zaman, atau
lebih dikenali sebagai Nur Sajat, bertaubat sentiasa terbuka jika beliau
benar-benar ingin kembali kepada fitrahnya, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.
Beliau berkata kerajaan sedia memberi bimbingan dan kaunseling
kepada Muhammad Sajjad selepas pihak berkuasa selesai mengambil tindakan
terhadap usahawan kosmetik itu.
“Insya-Allah kalau dia sudi datang kepada kita, kalau dia sudah
mengaku salah dan sebagainya, kalau dia nak balik kepada fitrah, tidak ada
masalah.
“Kita bukan nak menghukum, kita lebih kepada pendidikan,”
katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Musa’adah FoodBank
YaPEIM kepada 174 pekerja rumah bot di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir hari
ini.
Idris juga berkata kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai
inisiatif untuk menarik golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)
kembali ke pangkal jalan termasuk melalui program dakwah di jalanan.
Bernama sebelum ini melaporkan polis dalam proses memohon untuk
mengekstradisi Muhammad Sajjad daripada pihak berkuasa Thailand.
Muhammad Sajjad diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas
waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula
pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam,
Selangor.
Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi
membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad
pengenalan di Mahkamah Ampang, Selangor.
— BERNAMA