Anwar dedah rundingan PH dengan PM

 


Panas! Anwar dedah rundingan PH dengan PM


Tiada sesuatu yang besar diputuskan berhubung rundingan Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara bersama CNBC, Anwar yang juga presiden PKR berkata, Ismail terpaksa mempelawa pembangkang ke meja rundingan susulan sokongan majoriti terhadapnya akan diuji dalam sidang Parlimen akan datang.

“Itulah sebabnya beliau melakukan beberapa bentuk perundingan dengan pembangkang, sehingga kini belum ada yang konkrit,” katanya memberitahu stesen berita berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

Walaupun turut memuji Ismail sebagai perdana menteri pertama yang sanggup bekerjasama bersama blok pembangkang dan memulakan beberapa bentuk perundingan, Anwar berkata, pembangkang bagaimanapun kecewa dengan barisan Jemaah Menteri.

“Bagi saya, ini adalah malapetaka.

“Mereka sudah diberikan 500 hari dan anda dapat melihat sendiri penurunan dalam menguruskan Covid-19 dan isu ekonomi, dan sekarang anda mahu memberikan 100 hari lagi?

“Namun, walau apapun, perundingan masih berjalan…Kami perlu melihat sama ada mereka benar-benar komited melaksanakan pembaharuan yang mereka sudah janjikan untuk menyokong,” kata ketua pembangkang itu.

Anwar turut bertegas untuk negara ini berganjak daripada politik berasaskan kaum kepada berasaskan dasar keperluan, sambil berkata, jajaran semasa tidak membawa manfaat kepada kebanyakan Melayu, sebaliknya hanya menguntungkan “Melayu elit”.

“Tetapi ini adalah hala tuju naratif baharu di Malaysia, ia memerlukan banyak usaha ke arah itu. Kita bukan sahaja perlu berhubung dengan rakyat di kawasan bandar dan pinggir bandar, kami juga perlu menembusi rakyat kebanyakan di kawasan luar bandar,” katanya.

Selepas Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, beliau dan tiga kepemimpinan tertinggi PH dalam kenyataan sulung bersama, menyatakan mereka sebulat suara bersetuju memperkukuhkan fungsi Parlimen sebagai badan semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Ismail, Anwar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, sumber memberitahu FMT, pembaharuan institusi, terutama membabitkan undang-undang antilompat parti, menjadi konsensus yang dipersetujui bersama untuk menjadikan Malaysia lebih stabil.