Kematian artis terkenal Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin baru-baru ini akibat Covid 19 dalam keadaan beliau tidak divaksin
kerana sedang hamil menimbulkan kesedaran perlunya ibu-ibu hamil divaksin
segera bagi mengelakkan mereka mengalami nasib serupa.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Mohd
Aizuddin Ariffin, trend peningkatan ibu hamil yang positif Covid 19 dan di
masukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) amat membimbangkan ketika ini berikutan
langkah pencegahan awal tidak dilakukan.
Katanya, merujuk kepada kenyataan Pakar Perunding Perubatan Reproduktif,
Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Muzirah
Mohd Zain, kemungkinan wanita hamil positif Covid 19 mempunyai tiga kali ganda
risiko perlu dimasukkan ke ICU dan dua kali ganda risiko untuk mendapat bantuan
pernafasan mestilah di pandang serius.
"Oleh itu, satu pelan tindakan khas vaksinasi secara
komprehensif dengan segera perlu dilaksana oleh kerajaan bagi memastikan ibu
hamil mendapat vaksin secepat mungkin. Koordinasi yang tidak teratur dan lambat
membuat keputusan hanya akan menyebabkan penambahan nyawa yang terkorban.
"Keadaan ini secara kolektifnya banyak melibatkan wanita
muda. Mereka adalah tonggak harapan negara yang akan mencorakkan kejayaan
sesebuah institusi keluarga.
"Walaupun terdapat pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua
Pengarah Kesihatan kepada setiap Pengarah Kesihatan Negeri untuk mengutamakan
pemberian vaksin kepada ibu hamil, langkah ini masih belum mencukupi. Satu
'Integrated task force' perlu dibentuk di seluruh negara," katanya dalam
satu kenyataan.
Selain tu, menurut Aizuddin, pasukan petugas khas itu juga boleh
memberi bantuan dari aspek sokongan mental kepada ibu hamil sekiranya berlaku
hal-hal yang di luar jangka terhadap keluarga mereka dalam waktu kehamilan.
"Pasukan Petugas khas ini bukan sahaja melihat kepada isu
vaksinasi ibu hamil, namun perlu melihat kepada keperluan sokongan kesihatan
mental dan kaedah penjagaan. Mungkin ada di kalangan ibu ibu hamil berada dalam
keadaan trauma dan ' anxiety '. Begitu juga yang kehilangan ahli keluarga.
Mereka harus dibantu dan diberi sokongan.
"Saya mengambil kesempatan dan ruang yang ada untuk
mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang bertungkus lumus berganding bahu dalam
usaha menangani pandemik covid 19," katanya lagi.