KUALA
LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menyelar tindakan segelintir pemimpin
UMNO yang cuba menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk ‘menghentam’ parti
sendiri.
Kadir
yang juga bekas penasihat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata, adalah satu tindakan pengecut untuk pemimpin UMNO menggunakan kedudukan
mereka seperti menteri, timbalan menteri dan juga GLC untuk menentang Presiden
UMNO.
“Rasanya tidak ramai akan meratap jika Ahmad Zahid Hamidi tersingkir
daripada jawatan Presiden UMNO. Sebaliknya lebih ramai akan berasa gembira.
Betullah seperti kata bekas ketua pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin bahawa
dia masih sayangkan UMNO tetapi tidak percaya kepada Ahmad Zahid.
“Itulah
juga punca kekalahan UMNO dalam pilihan raya umum 2018. Pengundi hilang
kepercayaan kepada Presiden dan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib
Razak.
“Tetapi
cara anggota Kluster Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC Umno
menggunakan kedudukan dalam kerajaan bagi menentang kepemimpinan parti mereka
sendiri tidak membantu mereka menjadi lebih dihormati daripada Ahmad Zahid dan
Kluster Mahkamahnya.
“Kalau
mereka tidak bersetuju dengan kepemimpinan Ahmad Zahid Hamidi dan dengan
pengaruh Najib dalam kepemimpinan parti, mereka sepatutnya bertindak sebagai
orang berani.
“Mereka
sama ada berlawan dengan Ahmad Zahid dan Kluster Mahkamah dari dalam atau keluar
daripada parti itu. Menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk menghentam parti
sendiri adalah perbuatan pengecut dan salah.
“Kalau
Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC Umno dalam Kerajaan PN adalah orang
yang berani dan berpekerti tinggi, mereka sepatutnya hadir mesyuarat Majlis
Kerja Tertinggi (MKT) dan berbahas secara bersemuka dengan Ahmad Zahid dan
konco-konconya.
“Sebaliknya
ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan dalam MKT rasanya tidak hadir
mesyuaratnya. Ketua mereka dalam kerajaan PN, Ismail Sabri Yaakob adalah salah
seorang Naib Presiden Umno. Sepatutnya dia jadi anak jantan dan berbahaslah
secara bersemuka dengan Ahmad Zahid. Dia Timbalan Perdana Menteri sekarang,”
katanya dalam tulisan
terbarunya di Facebook hari ini.
Tulis
Kadir lagi, lebih mengejutkan apabila kumpulan itu juga menggunakan kuasa
eksekutif bagi menekan parti sendiri menggunakan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Amat
jelas yang perintah terbaru RoS berkaitan pengangguhan pemilihan parti itu
adalah tindakan politik.
“Adakah
mereka sedang bersubahat menggunakan kuasa eksekutif untuk menyingkir Ahmad
Zahid dan Kluster Mahkamah dengan tujuan mengambil alih kepemimpinan parti itu?
“Atau
mereka mahu Umno diharamkan supaya mereka boleh merampasnya dengan sekali lagi
mendaftarkan UMNO Baru?,” soalnya.
Jelas
Kadir Jasin lagi, sememangnya diakui UMNO sudah lama ‘menderita’ masalah
kebolehpercayaan yang teruk di bawah pimpinan Ahmad Zahid.
“Dia mempunyai kes jenayah di mahkamah dan sering dikaitkan dengan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tindakannya menulis surat kepada
Yang di-Pertuan Agong akhir tahun lalu bagi menyokong Anwar sebagai calon
Perdana Menteri adalah bertentangan dengan dasar parti.
“Tetapi
bagi pemberontak UMNO yang menganggotai kerajaan PN dan menyokong Mahiaddin,
perbuatan mereka menikam parti sendiri adalah hina dan merendahkan martabat
mereka sebagai pemimpin.
“Ramai
menyokong mereka dalam percubaan menyingkirkan Kluster Mahkamah tapi bukanlah
dengan cara tikam curi. Sekarang mereka menderita padahnya.
“Dua orang rakan menteri mereka dan beberapa orang ahli lembaga pengarah GLC telah meletakkan jawatan dan menarik balik sokongan kepada Kerajaan PN dan Mahiaddin. Sekali gus kedudukan mereka sendiri menjadi lemah,” dakwanya.