Ketua AMK, Akmal Nasir menyifatkan pengumuman Perdana Menteri,
Datuk Seri Ismail Sabri berhubung kabinet baharu adalah mendukacitakan kerana
menganggapnya sebagai kabinet Perikatan Nasional (PN) ‘kitar semula’.
Beliau berkata, Perdana Menteri telah melepaskan peluang yang terbaik untuk melangkaui kegagalan kerajaan PN sebelum ini, ketika rakyat mengharapkan barisan menteri yang baharu mampu membawa Malaysia keluar dari krisis pandemik dan krisis ekonomi.
"Namun Menteri yang dilantik adalah di kalangan majoriti menteri sama yang gagal menunjukkan sebarang pencapaian membanggakan.
"Contohnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) yang dikecam susulan perkembangan ekonomi yang lembap serta kluster-kluster Covid yang dikaitkan dengan kilang masih dikekalkan sebagai Menteri Kanan.
"Selain itu, Menteri Pendidikan yang tidak berupaya menetapkan halatuju pendidikan negara serta pendekatan yang tidak konsisten serta menyusahkan ibu bapa dilantik semula untuk terus menerajui Kementerian Pendidikan.
"Manakala, keputusan mengekalkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipersoalkan kerana tidak menunjukkan kesungguhan menyelesaikan isu-isu terutamanya berkaitan penderaan dan kesihatan mental sepanjang pandemik menunjukkan tiada perubahan yang akan berlaku," katanya.
Justeru, Akmal mempersoalkan sama ada lantikan semula menteri-menteri yang gagal menggalas tanggungjawab sebelum ini merupakan habuan sebagai balasan menyokong Perdana Menteri.
"Perkara ini dilihat sama dengan amalan "scheme of things" yang diamalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
"Ini amat ketara bila bukan sahaja menteri yang sama dilantik ke jawatan sama atau ditukar kementerian, malah saiz kabinet juga amat besar dan merupakan satu pembaziran bilamana negara perlu memfokuskan kepada kewangan, kebajikan dan kelansungan kehidupan rakyat," katanya.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut mempersoalkan komitmen Perdana Menteri terhadap mengangkat agenda anak muda.
"Apakah Perdana Menteri benar-benar ingin mengangkat isu belia bila Menteri Belia dan Sukan sendiri bukan dari kalangan belia manakala tiada muka-muka baru pimpinan muda yang dilibatkan dalam kabinet beliau?
"Jaminan Perdana Menteri bahawa tempoh 100 hari bagi membuktikan pencapaian mereka juga adalah tidak masuk akal, apabila kelompok yang sama telah terbukti gagal menangani krisis sepanjang 533 hari memerintah malah menjadikannya semakin teruk," katanya.