Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (dua kiri) bersama Ahli
Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) hadir untuk memberi
keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di
Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin
lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL,
04 OGOS 2021.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
hari ini mendesak polis supaya menyiasat pemimpin-pemimpin Kerajaan Perikatan
Nasional termasuk pemimpin UMNO yang berhimpun beramai-ramai tanpa mematuhi
prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Beliau berkata, polis sepatutnya menyiasat Ahli-Ahli Parlimen
UMNO, Barisan Nasional yang berhimpun di hotel.
“Mereka (ahli-ahli Parlimen UMNO)
berhimpun di hotel, makan ‘dinner’ , kereta-kereta Vellfire boleh berulang alik
ke rumah perdana menteri, pemimpin politik boleh jumpa PM di rumahnya sampai
lewat malam sebab ada perjumpaan tergempar dan ini semua takda masalah tetapi
kami nak ke Parlimen pula dipersalahkan.
“Kalau nak siasat kami, silakan kami tidak menghalang, tetapi
sila siasat juga menteri-menteri yang berulang alik setiap malam ke rumah PM,”
ujarnya.
Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, beliau hairan mengapa
pergerakan mereka ke Parlimen disekat sedangkan mahu menjalankan
tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat dan digajikan.
Malah, kehadiran mereka ke Parlimen Isnin
lalu bagi memikul titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentang dan membahaskan
isu rakyat, katanya.
Terdahulu Syed Saddiq dan Hannah Yeoh hadir ke Ibu Pejabat Polis
Daerah Dang Wangi petang ini untuk dirakam percakapannya berhubung himpunan dan
perarakan ahli-ahli Parlimen pembangkang ke Parlimen pada Isnin lalu.
Syed Saddiq tampil ke IPD sekitar jam 2.29 petang tadi sebelum
bersama-sama dengan Ahli Parlimen Segambut itu memasuki premis polis itu untuk
memulakan proses merakam keterangan.
Kedua-dua pemimpin itu kemudian keluar
meninggalkan IPD Dang Wangi selepas sejam kemudian.
Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau memberi kerjasama penuh
dalam siasatan ini.
Katanya, beliau ke Parlimen Isnin lalu kerana itu adalah tempat
kerja ahli-ahli Parlimen kerana mempunyai pejabat di sana.
“Pada Isnin lalu saya sepatutnya menghadiri dua mesyuarat
jawatankuasa antaranya mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan
Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman tetapi kami menerima notis
pembatalan kedua-dua perjumpaan itu agak lewat sedikit.
“Kami tidak berniat ke Dataran Merdeka tetapi tiada pilihan
kerana semua jalan menuju ke Parlimen disekat oleh polis dan ditutup akses.
“Saya terpaksa memakir kereta tepi jalan dan bertanya polis
trafik sebab tak dapat diakses ke Parlimen,” katanya yang kecewa dengan Speaker
Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang sepatutnya bersuara dan membela
ahli-ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Hannah mendakwa Azhar membisukan diri dalam isu ini. – MG