Shafie Apdal dilihat sebagai calon
lebih ‘mesra’ berbanding Anwar Ibrahim.
PETALING
JAYA: Walaupun Anwar Ibrahim tidak dinafikan adalah pemimpin pembangkang, nama
Presiden Warisan Shafie Apdal turut disebut antara yang mungkin dicalonkan
sebagai Perdana Menteri susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin petang tadi.
Beberapa
Ahli Parlimen memberitahu FMT, mereka telah dihubungi untuk menyokong Shafie
sebagai calon Perdana Menteri. Malah, seorang Ahli Parlimen dari Malaysia Timur
yang enggan dinamakan mengakui ada usaha untuk menamakan bekas ketua menteri
Sabah itu sebagai calon alternatif pembangkang.
“Ada
105 Ahli Parlimen pembangkang. Ini asasnya, dengan mengandaikan pembangkang
bergerak sebagai satu blok, dan saya dimaklumkan dalam Pakatan Harapan pun
tidak semua orang yakin hanya satu calon mencukupi.
“Angka
‘ajaib’ adalah 111 namun ada keraguan sama ada Anwar mampu meraih bilangan itu.
“Shafie
mungkin lebih berjaya kerana dilihat sebagai calon lebih ‘mesra’ berbanding
Anwar, terutama kepada Ahli Parlimen bekas PKR dan Gabungan Parti Sarawak
(GPS).”
Ahli
Parlimen itu berkata, ada kemungkinan lebih tinggi Shafie akan mendapat
sokongan dari Sarawak kerana kemungkinan adanya Perdana Menteri dari Borneo
pasti lebih mengukuhkan kemungkinan mencapai apa dijanjikan dalam Perjanjian
Malaysia 1963.
Terdahulu
hari ini, beberapa Ahli Parlimen memberitahu FMT mereka telah menerima
panggilan daripada pelbagai parti untuk mendapatkan sokongan bagi calon Perdana
Menteri mereka.
Ini
susulan Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, kira-kira 17 bulan
selepas dilantik ke jawatan itu. Beliau akan menjadi Perdana Menteri
‘caretaker’ sehingga pemimpin baharu dilantik.
Bagaimanapun,
seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang enggan dinamakan berkata, Anwar
sajalah diketahui calonnya setakat ini dalam kalangan Ahli Parlimen.
Ahli
Parlimen itu menyuarakan keraguan sama ada Shafie dan Warisan mampu meyakinkan
pembangkang mengenai kelayakannya.
“Ia
parti kecil. Mereka cuma mempunyai lapan Ahli Parlimen dan Shafie tidak cukup
kukuh di peringkat nasional. Beliau pemain peringkat negeri.
“Ia
umpama PAS mahu memegang jawatan Perdana Menteri sedangkan Umno yang mempunyai
bilangan lebih tinggi.”
Katanya,
nama Anwar dan Shafie memang telah diperkatakan dalam kalangan Ahli Parlimen
pembangkang, namun cadangannya adalah supaya dua pemimpin itu bekerjasama di
bawah satu gabungan pembangkang yang besar, bukannya untuk bersaing bagi
jawatan Perdana Menteri.
Katanya,
hakikatnya tiada parti yang mempunyai angka diperlukan bagi membentuk kerajaan,
seterusnya kerajaan campuran adalah penyelesaian paling mungkin untuk kemelut
politik dihadapi sekarang.
Ahli
Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dari PKR berkata, setahunya Anwar adalah
satu-satunya calon untuk pembangkang, dan beliau tidak mendengar mengenai
sebarang cadangan melibatkan Shafie.
Sementara
itu, satu sumber berkata dalam kalangan DAP masih ada yang tidak berpuas hati
Anwar tidak menerima cadangan pembaharuan dan pentadbiran inklusif yang
ditawarkan Muhyiddin untuk meraih undi sokongan di Parlimen yang sepatutnya
diadakan bulan depan.
“Menurut
rasional mereka, sekiranya Anwar bersetuju, PH akan berkuasa semula dan menjadi
‘kingmaker’, malah Anwar mungkin boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri selain
pelbagai pembaharuan dapat dilakukan.”