Panas! Pemimpin Umno tempelak pemuda Pas, janganlah lebih sudu dari kuah
Selepas Pemuda PAS dilaporkan mahu mengadu kepada polis berhubung penyebaran surat didakwa dari Istana Negara yang tular baru-baru ini, seorang pemimpin Umno hari ini memberikan ‘nasihat’ kepada sayap parti kerajaan itu.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata surat berkenaa tiada menunjukkan bahawa ia adalah dokumen rahsia.
Malah katanya pihak Istana Negara juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai surat itu sama ada ia dibocorkan atau tidak.
“Janganlah lebih sudu daripada kuah… Pihak Istana (Negara) tahu apa nak buat,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Semalam Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata mereka memandang serius penyebaran surat tersebut yang mengandungi penjelasan berhubung pembatalan ordinan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kata ahli parlimen Pasir Mas itu, Pemuda PAS akan membuat laporan polis agar siasatan dapat dilakukan bagi mengenal pasti punca surat berkenaan beredar di media sosial.
Dia juga menganggap penyebaran surat bertarikh 29 Julai itu adalah suatu perkara yang amat serius dan boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
Puad berkata jika penyebaran surat itu dianggap Pemuda PAS sebagai menggugat kestabilan negara, bagaimana pula dengan perbuatan mengelirukan Dewan Rakyat.
“Sedangkan warkah Yang di-Pertuan Agong itu memberi pencerahan terhadap kekeliruan di parlimen.
“Ia juga menjawab kenyataan media Pejabat Perdana Menteri sebelumnya. Maka mana yang dikatakan menggugat kestabilan negara?” tanya Puad.
Sebelum ini kenyataan dibuat Istana Negara menyatakan rasa “amat dukacita” Agong berkenaan cara kerajaan PN membatalkan ordinan darurat kerana ia dibuat tanpa perkenan baginda terlebih dulu.
Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga menyatakan rasa “amat dukacita” terhadap cara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan menjelaskan isu itu dan baginda menganggap ahli parlimen Kota Bharu itu mengelirukan parlimen.
Untuk rekod Takiyuddin juga ialah setiausaha agung PAS.
“Sepatutnya kita menjunjung kasih kepada Agong kerana sudi memberi penjelasan kepada rakyat. Jika tidak semua kena kelentong,” kata Puad.