Perdana Menteri (PM) Malaysia yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob dinasihatkan agar melaksanakan terlebih dahulu titah Yang di-Pertuan
Agong melepasi Undi Percaya di Parlimen sebelum melantik anggota kabinet.
Pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari berpendapat,
pelantikan kabinet sekiranya mahu juga dilakukan sepatutnya terhad kepada
beberapa orang menteri yang penting dalam usaha menangani pandemik Covid 19.
"Ada yang mengatakan tak payah kabinet dulu. Sebenarnya untuk
lebih proper, pergi dulu (ke Parlimen).
Sudah selesai masalah majoriti baru lantik kabinet.
"Sekarang pun boleh tulis nama, siapa nak dilantik. Tetapi
elok pergi sana dulu, clear kan dulu, balik boleh lantik.
"Sekarang ini saya fikir bukan masalah lantik ramai-ramai.
Lantik 10 orang pun boleh, bukan semestinya lantik 30 orang terus. Sekadar
memadai yang sesuai, apa yang disebut war cabinet. Sebab sekarang dalam keadaan perang lawan
Covid. Maknanya 10 orang memadai untuk fasa pertama kementerian atau fungsi
kritikal dahulu. Tak semestinya semua," katanya dalam sesi siaran langsung
Facebook, malam tadi.
Menjawab soalan netizen apakah akan berlaku sekiranya Ismail
sebaliknya tidak berjaya melepasi majoriti mudah dalam Undi Percaya tersebut,
Dr Aziz berkata, PM akan jatuh dan perlu digantikan oleh calon PM seterusnya.
"Habislah, kalau tak ada sokongan, habislah. Kalau dalam
keadaan biasa bubar Parlimen. Dalam keadaan sekarang, pandemik, mungkin saya
rasa yang terdekat ialah proses yang berlaku hari itu (pemilihan PM), yang
terjadi hari itu kena buat semula.
"Cuma saya rasa dalam keadaan seperti itu, kalaulah berlaku
tak susah sangat, sebab dah ada pelan B (calon PM kedua). Jadi kita tahu siapa
yang patut dilantik.
"Atau masa ini sesuai untuk difikirkan soal Kerajaan
Perpaduan. Maksudnya seorang PM dilantik dan kabinetnya dilantik dari kedua-dua
pihak bagi menjalankan pentadbiran selama penggal Parlimen sebelum PRU.
"Bukan PM sementara tetapi bentuk Kerajaan Perpaduan yang tak
ada pembangkang. Sebab orang tak mahu perintah negara dalam keadaan kritikal.
Ini selalunya berlaku dalam keadaan perang, macam di United Kingdom, perang
dunia I dan perang dunia II. Malah Brexit baru-baru ini pun ada juga. War
cabinet itu ada," katanya lagi.
PM Ismail Sabri dijangka akan menghadapi Undi Percaya pada sesi
Parlimen bulan September ini bagi mengabsahkan pentadbirannya sehingga tempoh
penggal berakhir pada Mei 2023.