Kemelut politik berpanjangan dan melelahkan rakyat di tengah-tengah pandemik Covid 19 mewajarkan para pemimpin politik memberi penyelesaian tuntas dan segera.
Sehubungan itu Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), menjemput Ahli-ahli Parlimen yang menentang Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin untuk berunding dan mencapai kata sepakat dalam mengangkat seorang pemimpin yang berwibawa sebagai calon PM yang baharu bagi mengembalikan negara ke landasan betul dalam perang melawan pandemik dan pemulihan ekonomi negara.
"Majlis Presiden PH dalam hal ini mengulangi pendirian kami menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. PH juga tidak bersetuju untuk sebarang pilihan raya umum diadakan terutama ketika pandemik memuncak. Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023.
"Oleh itu, Majlis Presiden menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Mahiaddin untuk bersama menyokong Datuk Seri Anwar sebagai calon PM bagi membuktikan sokongan, serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen," kata kenyataan Majlis Presiden hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, hanya satu gabungan Ahli-ahli Parlimen dan parti politik yang kuat akan memaksa Mahiaddin melepaskan jawatan atau memberi lebih kekuatan kepada Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan sewajarya, memandangkan pihak penentang kerajaan Perikatan Nasional telah menyediakan calon Perdana Menteri.
"Pada ketika jumlah kes aktif Covid-19 melebihi 20,000 sehari, lebih 1,000 pesakit berada di ICU, dan setiap hari kita menyaksikan beratus orang yang meninggal akibat Covid-19, serta isu pekerjaan dan pendapatan yang membelenggu rakyat, kita amat memerlukan
sebuah Kerajaan yang stabil, berkesan, dan dipimpin seorang PM yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen.
"Walaupun setakat ini, umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Tan Sri Mahiaddin dan 120 Ahli Parlimen tidak menyokong, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh itu, rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik," katanya.
Justeru, Majlis Presiden PH menjemput semua pihak yang menentang Mahiaddin untuk segera ke meja rundingan bagi mencapai kata sepakat dan tidak memberi lebih banyak masa kepada pentadbiran Mahiaddin meneruskan kerajaan gagal serta menyebabkan lebih banyak nyawa terkorban akibat pandemik.
"Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Tan Sri Mahiaddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil.
"Amatlah penting semua pihak bersatu di bawah sebuah Kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang Undi Percaya terhadap Perdana Menteri nanti.
"Ini supaya sebarang pengambilalihan Kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.