Lim Guan Eng. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 10 NOVEMBER
2019
KUALA LUMPUR – Gabungan Pakatan Harapan (PH) hari ini melakukan
sesuatu yang drastik apabila memberi lampu hijau kepada ahli-ahli Parlimennya
untuk berbincang dan bercakap dengan pihak lawan mengenai keadaan
politik.
Tetapi kebenaran itu dikecualikan kepada tiga pemimpin teratas
dalam PH yang perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian,
kata Timbalan Presiden PH, Lim Guan Eng.
“Majlis Presiden PH telah membenarkan
semua pemimpin bebas untuk berbincang dan bercakap dengan pihak lawan mengenai
keadaan politik kecuali tiga pemimpin teratas dalam PH yang perlu saling
berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian.
“Selain tiga pemimpin teratas daripada
DAP, PKR dan Amanah, ramai ahli Parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga
parti dalam PH secara sendiri telah mengadakan banyak perbincangan dengan
seteru politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Walau bagaimanapun Guan Eng berkata,
perbincangan seperti itu tertakluk kepada persetujuan daripada kepimpinan parti
masing-masing dan Majlis Presiden PH.
“Ahli-ahli DAP tidak boleh membiarkan
laporan media berbaur anti-DAP ini memberi gambaran buruk terhadap DAP sehingga
memecahbelahkan parti kita,” katanya.
Setiausaha Agung DAP itu merujuk kepada
laporan media yang memetik kenyataan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang mencadangkan
agar idea Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kerajaan bipartisan dibincangkan.
“Saya fikir semua parti politik patut
duduk berbincang jika syarat-syaratnya boleh diterima atau tidak, atau
bagaimana?” ciap bekas Timbalan Menteri PH itu.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, PH
bersama dengan dengan blok pembangkang yang terdiri daripada 105 ahli Parlimen
tidak boleh membuang masa dan sebaliknya menggunakan pendekatan khemah besar
untuk menuntut kembali mandat mereka sebagai kerajaan yang dipilih mengikut
Perlembagaan oleh rakyat.
Hanya dengan bermula dengan 105 ahli
Parlimen pembangkang sebagai asas, Ahli Parlimen PH Plus dapat menuntut kembali
mandat pilihan raya 2018.
“Kedua-dua Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
Datuk Seri Shafie Apdal memikul tanggungjawab untuk bekerjasama bagi
mengembalikan mandat rakyat.
“Perlu ada alternatif yang jelas terhadap
Kerajaan PN yang telah gagal menyebabkan rekod tertinggi jangkitan dan kematian
serta kegagalan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan ekonomi.
“Mengekalkan Kerajaan PN yang telah gagal
bukanlah jalan keluar untuk masalah yang dihadapi oleh negara, sedangkan
masalah sebenar adalah seluruh Kerajaan PN itu,” katanya lagi.