Panas! ‘Balaci’ nafi Azmin ugut tarik sokongan jika tidak dilantik TPM

 Panas! ‘Balaci’ nafi Azmin ugut tarik sokongan jika tidak dilantik TPM


Muhammad Hilman Idham menafikan laporan yang mendakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya beliau tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu yang juga Setiausaha Politik Mohamed Azmin menjelaskan laporan yang disiarkan beberapa portal sebelum ini berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.

“Laporan tersebut diyakini bertujuan untuk menggugat kestabilan dan perpaduan yang semakin utuh dalam Perikatan Nasional (PN) yang mendukung kepimpinan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

“Amat dikesali, kedua-dua portal media tersebut tidak dapat mengesahkan kebenaran sumber yang dilaporkan demi menjamin laporan yang tepat dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Nama Mohamed Azmin antara yang disebut-sebut bakal mengalas jawatan timbalan perdana menteri dalam pentadbiran yang diterajui Ismail Sabri.

Sebelum ini Mohamed Azmin merupakan Menteri Kanan menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI) ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamed Azmin juga pernah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika Pakatan Harapan menguasai kerajaan dan pernah menjawat jawatan Menteri Besar Selangor.

Beliau juga merupakan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum meninggalkan parti itu tahun lalu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)