Dari segi perlembagaan dan prinsip moral, kerajaan PN dan kedudukan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri sudah pun tumbang sekarang ini.
Dengan pengumuman Zahid Hamidi bahawa sebahagian Ahli Parlimen UMNO, dipercayai seramai 14 orang jumlahnya, pada peringkat awal ini sudah menandatangani surat akuan menarik sokongan terhadap kerajaan dan senarainya telah pun disembah maklum kepada Yang Dipertuan Agong, hakikatnya tiada apa lagi yang dapat mempertahankan jatuhnya Mahiaddin.
Dipercayai juga, beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO bakal menyusul dengan perakuan yang sama dan nama-nama tersebut akan turut dipersembahkan kepada Istana Negara kemudiannya.
Bersama perletakan jawatan Shamsul Anuar Nasarah sebagai menteri kabinet petang semalam, bermakna ketiadaan sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Mahiaddin sekarang ini semakin terang lagi nyata.
Sekaligus, kejatuhannya semakin sukar untuk dielakkan, waima jika ada tongkat sakti atau bomoh hebat sekali pun datang ingin membantunya.
Hanya yang tersangkut sekarang ialah soal teknikal undang-undang saja.
Tetapi, apa guna berselindung di sebalik tafsiran undang-undang kalau moral sudah tiada?
Dengan demikian, Mahiaddin seharusnya tidak melengah-lengahkan lagi keperluannya untuk berundur secara terhormat.
Tidak perlu lagi beliau cuba bertahan dengan terus melanggar SOP memanggil menteri-menteri dan Peguam Negara datang ke rumahnya untuk berbincang bagi mempertahankan kerusinya yang sudah rapuh itu.
Sedar dan insaflah, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang pernah menonjolkan imej pandai membaca doa dan berjubah, disertai dengan kedudukannya sebagai anak ulama terkenal di Muar, Mahiaddin sebenarnya tidak perlu mencipta lebih banyak alasan untuk tidak melepaskan jawatannya.
Kebetulan hari ini, Rabu di mana ada mesyuarat kabinet dan beliau sepatutnya menghadap Agong sebelum mesyuarat berkenaan diadakan, adalah terpuji kiranya turut dibawa bersama surat perletakan jawatannya ketika menghadap nanti.
Tentulah lebih buruk dan terkutuk jika sampai dinasihatkan oleh Agong agar beliau perlu meletakkan jawatan berikutan ketidaan lagi majoriti yang dimilikinya, beliau nantinya masih lagi cuba berhujah mempertahankan kedudukannya.
Cukup-cukuplah dengan derhaka yang sedia ada dan janganlah ditambah lagi siri penderhakaan kepada Agong yang ia pasti membuatkan rakyat tambah meluat dan benci kepadanya.
Lagi pun, begitulah hukum kehidupan di mana jika kita pernah menjatuhkan orang, biasanya balasan Tuhan dalam bentuk yang sama juga akhirnya akan menimpa kita.
Sebagaimana Mahiaddin pernah menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton kira-kira 17 bulan sebelum ini, hakikatnya penarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan PN ini adalah balasan yang harus diterimanya dengan penuh redha.
Sebaik-baiknya peristiwa ini menjadikan Mahiddin dan sesiapa juga insaf bahawa jangan sesekali bersikap khianat dalam mengejar kerakusan nafsu dunia dalam kehidupan ini.
Juga jangan sesekali derhaka kepada Raja dalam memenuhi kebuasan nafsu ingin kekal berkuasa.
Sampai masa harus berhenti, berlapang dadalah menerimanya.
Berikutan Zahid Hamidi telah pun mempersembahkan nama-nama Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap PN kepada Agong, jika disertai dengan kesediaan Mahiadin berundur, ia pasti akan lebih memudahkan baginda menentukan pilihan yang sewajarnya bagi menamatkan kemelut ini.
Mahiaddin, dengan pelbagai kekalutan dan caca marba yang dicetuskannya selama ini, kini bertanggungjawab penuh untuk tidak memandangkan lagi kemelut yang ada dalam negara ini.
Demi negara dan demi rakyat yang sedang sengsara, berundur dan meletak jawatan adalah sebaik-baik pilihan baginya.
Jika Mahiaddin terus degil enggan berundur dengan berdalih melalui pelbagai tafsiran undang-undang oleh Peguam Negara yang sebenarnya lebih dihantui ketakutan hilang jawatan kiranya Perdana Menteri bertukar tangan, beliau pasti akhirnya akan menerima kutukan dan penghinaan yang berpanjangan dalam hidupnya selepas ini.
Itukah yang mahu dicarinya dalam hidup ini?
(ShahbudinHusin 04/08/2021)