Langkah Royal Chulan usaha naikkan Ismail Sabri jadi PM?

 Langkah Royal Chulan usaha naikkan Ismail Sabri jadi PM?


Dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka meletakkan sebagai Perdana Menteri esok, tempoh 24 jam ini dijangka menjadi tempoh paling kritikal bagi parti-parti politik.

Semua parti politik sedang membuat kira-kira siapa yang mampu mencapai majoriti mudah.

Dan yang pasti dengan tiada pemimpin utama politik mencapai angka 111 sokongan setakat ini, maka masing-masing sedang menggerakkan percaturan dan inisiatif.

Spekulasi paling kuat ketika ini dalam keadaan Bersatu yang tidak mahu kehilangan kuasa dan UMNO mahu kembali menjadi parti dominan, jalan terbaiknya adalah mengumpulkan sokongan buat Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Percaturan tersebut dikatakan menyamai Langkah Perak yang pernah digerakkan UMNO pada Januari lalu yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Walaupun Bersatu Perak ‘terluka’ akibat penarikan sokongan UMNO kepada Faizal Azumu, namun Bersatu Perak akhirnya tetap memberi sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad untuk menerajui kerajaan negeri.

Spekulasi mengenai Ismail Sabri akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri semakin kuat sejak pagi tadi apabila dikhabarkan satu perbincangan diadakan kem beliau di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Portal berita The Vibes sebentar tadi melalui satu sumbernya turut melaporkan satu gerakan mengumpul surat dan tandangan akuan bersumpah (SD) sedang dilakukan untuk menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Laporan itu juga menyebut sekiranya persefahaman itu dipersetujui, Ismail Sabri juga akan menawarkan beberapa porfolio penting kepada pemimpin Bersatu.

Gerakan itu dijangka boleh merungkai ‘jalan mati’ majoriti mudah yang belum dimiliki oleh mana-mana pemimpin setakat ini.

Malah, berdasarkan ciapan Twitter anak Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Nedim memaklumkan pasukan A dan B telah bersetuju untuk bersama kerana seseorang telah membuat keputusan.

“Okay, Alhamdulillah, pasukan A dan Pasukan B telah bersetuju untuk bersama kerana seseorang telah memutuskan untuk pergi…kembali bekerja dengan pasukan yang betul,” ciapnya pada awal pagi Ahad.

Dengan perkhabaran terbaru itu, ramai wartawan yang kini mula bertumpu di Hotel Royal Chulan untuk mendapatkan perkembangan terkini.