Kerajaan PN lembab beri bantuan kepada PKS: 65,000 hilang pekerjaan - KEADILAN

 


Kelembapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi bantuan kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyebabkan pertumbuhan sektor itu merosot teruk pada tahun ini dan tahun lalu.


Menurut Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, Berdasarkan laporan terbaru yang dipaparkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pertumbuhan ekonomi untuk PKS telah menyusut sebanyak 7.30 % pada tahun 2020, berbanding penyusutan pertumbuhan negara sebanyak 5.6% dan kategori bukan PKS iaitu 4.6%, yang akan menjejaskan ekonomi Malaysia kerana PKS merupakan industri menyumbang kepada hampir 50% pekerjaan.


"Kegagalan Kerajaan PN menghulurkan bantuan yang berkesan dan tepat menyebabkan berlaku gelombang penutupan PKS dan kadar pengangguran melambung tinggi.


"Dalam 15 tahun kebelakangan ini, pertumbuhan PKS lebih tinggi berbanding kategori bukan PKS kecuali pada tahun 2020. Penyusutan yang mendadak tersebut adalah satu amaran penting untuk kita.


"Menggunakan 1.15 juta PKS di negara kita pada tahun 2020 sebagai kiraan, ia bermaksud pendapatan setiap PKS telah menurun sebanyak RM 35,000 secara purata.


"Antaranya, PKS bidang pembinaan dan perkhidmatan paling teruk terjejas dengan penyusutan nilai keluaran sebanyak 15.4% dan 9.2%," katanya.


Bagi Adun Semambu itu, meskipun sumbangan PKS dari segi pendapatan negara tidak sebanyak firma besar atau pelaburan langsung asing, namun PKS adalah sumber utama pekerjaan dan pendapatan kebanyakan rakyat.


Katanya, walaupun PKS hanya menyumbangkan 39% daripada keseluruhan Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi ia merupakan 99% daripada keseluruhan perusahaan di negara ini dan 48.8% tenaga kerja adalah dalam sektor PKS.


"Kesan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 telah menyebabkan jumlah pekerja yang diambil PKS mencatat penyusutan pertama kali sejak beberapa tahun, dengan pengurangan sebanyak 65,000 orang tenaga kerja," katanya.


Tambah Lee, Kerajaan Perikatan Nasional terkhilaf kerana mengabaikan kelangsungan PKS dengan memberi tekanan membabi buta, mengklasifikasikan sektor yang boleh beroperasi mengikut sektor perlu dan tidak perlu. Tindakan tersebut, katanya menyebabkan PKS enggan mengambil pekerja baharu dan meledakkan kadar pengangguran


Kata beliau, sepanjang tempoh pandemik, rakyat hanya melihat Menteri Perdagangan dan Industri Azmin Ali lebih sibuk menarik pelaburan asing dan membuka pintu belakang untuk firma besar daripada menjengok nasib usahawan PKS.


"Sekatan terhadap sektor ekonomi yang telah beberapa kali dibuka dan ditutup dalam tempoh dan hanya disedari oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi dengan mengeluarkan kenyataan berkaitan PKS pada 28 Julai lalu. Tidakkah ia membuktikan bahawa Kerajaan PN hanya mementingkan 1% firma besar berbanding dengan 99% PKS?


"Ketidakberdayaan PKS dalam memerangi pandemik ini, termasuk dengan amalan dua darjat yang berlaku di kalangan pegawai penguatkuasa undang-undang, kesukaran dalam permohonan pinjaman pembiayaan dan sebagainya adalah realiti dan fakta yang terbuka dan diketahui semua," katanya.


Menurut Lee lagi, pada awal bulan Jun, Persatuan Perusahaan Kecil dan Serdahana (SME Association) telah memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 40% PKS akan ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.


Namun sehingga ke hari ini, selain bantuan kewangan yang tidak seberapa dan penundaan pinjaman, Kerajaan PN masih juga tidak memberikan sebarang dasar atau pelan pemulihan untuk menyelamatkan PKS yang dalam keadaan nazak.


"Saya mencadang agar Kerajaan berhenti menentukan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi dengan perkhidmatan perlu dan tidak perlu.


"Sebaliknya, secara saintifik menggunakan data pandemik yang lalu untuk mengklasifikasikan sektor ekonomi berisiko tinggi dan rendah untuk menetapkan Prosedur Operasi Standard dan menentukan pengoperasian sesebuah sektor.


"Dalam situasi yang tertentu, Kerajaan tidak perlu untuk berpura-pura mereka maha mengetahui. Contohnya, pemilik kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai aksesori kereta pasti lebih berhati-hati dalam mencegah penularan wabak.


"Ini kerana, sekiranya penularan berlaku di premis mereka, pastinya akan menjejas reputasi yang akan menyebabkan penutupan atau kemuflisan pada bila-bila masa sahaja," katanya.


Sehubungan itu, Lee mengusulkan agar Kerajaan segera menyediakan pelan dan peta pemulihan bagi setiap sektor PKS yang berbeza serta kemudahan dan bantuan yang boleh diberikan oleh Kerajaan.


Hal itu, katanya akan melindungi mata pencarian setiap orang.


"Sektor pembinaan, makanan dan minuman, perkhidmatan dan rekreasi serta sektor yang paling akhir dibenarkan beroperasi sepatutnya mendapatkan bantuan yang lebih besar.


"Kerajaan juga perlu membuat pindaan undang-undang untuk skim bekerja dari rumah, memudahcarakan dan mengurangkan karenah permohonan pinjaman dan bantuan, mengecualikan kos pendaftaran perniagaan dan lesen, menentukan sektor-sektor yang kemungkinan berkembang pesat selepas pandemik ini.


"Saya meragui bahawa pemulihan PKS tidak termasuk dalam agenda utama kabinet dan Majlis Pemulihan Negara. Di saat majoriti PKS di negara kita dan pekerja yang bergantung kepada PKS untuk mencari nafkah di tahap nyawa-nyawa ikan, rakyat pula melihat Kerajaan PN sibuk membuka dan menutup Parlimen untuk mengekalkan kuasanya," sinis Lee lagi.