1 Ogos 2021
PEMBANGKANG JUNJUNG TITAH
TUANKU, PERDANA MENTERI DAN KABINET MESTI LETAK JAWATAN
Kami menjunjung kasih ke atas
titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang
terkandung di dalam kenyataan media Istana Negara pada 29 Julai lalu.
Kami amat terkejut bahawa Seri
Paduka Baginda telah menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah
diperkenan dan dititahkan kepada YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan YBhg
Tan Sri Idrus bin Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai
bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di
Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Kami juga amat terkejut bahawa
Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa kenyataan YB Datuk Seri Takiyuddin
bin Hassan di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan
Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Memandangkan keputusan untuk
tidak membentang dan membahas semua Ordinan Darurat seperti yang telah
diperkenan dan dititahkan Seri Paduka Baginda adalah keputusan Jemaah Menteri
maka, berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, seluruh Jemaah
Menteri bertanggungjawab secara bersama ke atas krisis Perlembagaan yang telah
berlaku ini.
Kami merakamkan kekesalan dan
bantahan keras terhadap keputusan Perdana Menteri mengarahkan pengangguhan
sidang khas Isnin 2 Ogos ini walaupun jumlah kes positif membabitkan Parlimen
hanya 0.9% setakat 29 Julai.
Tindakan penangguhan ini
langsung tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, proses demokrasi
berparlimen dan terus membelakangi kenyataan media Istana Negara.
Oleh yang demikian, kami
bersependapat bahawa YAB Tan Sri Mahiaddin bin Md Yassin dan seluruh Jemaah
Menteri mesti meletakkan jawatan secara terhormat sekarang.
Anwar Ibrahim
(Parti Keadilan Rakyat,
KEADILAN)
Mohamad Sabu
(Parti Amanah Negara, AMANAH)
Lim Guan Eng
(Parti Tindakan Demokratik,
DAP)
Wilfred Madius Tangau
(Pertubuhan Kinabalu Progresi
Bersatu, UPKO)
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
(Parti Ikatan Demokratik
Malaysia, MUDA)
Baru Bian
(Parti Sarawak Bersatu, PSB)