By Manzaidi Mohd Amin - 5 August 2021
MPPH telah buat penelitian bahawa Muhyiddin cuba kelirukan YDPA.
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bersama rakan dan parti
pembangkang memutuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bercakap benar dan
mengelirukan Yang di-Pertuan Agong berhubung kedudukannya sebagai perdana
menteri selepas UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan
Nasional (PN).
Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH), Datuk Seri
Anwar Ibrahim menjelaskan, tindakan perdana menteri itu satu perbuatan
penderhakaan tertinggi terhadap ketua utama negara dan tidak patut dimaafkan.
Perkara itu, kata beliau, boleh disahkan
tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu
urusan sahaja iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya
terhadap Muhyiddin.
“Pimpinan PH membuat perkiraan yang teliti bersama rakan dari
parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Muhyiddin, ternyata beliau
telah tidak bercakap benar dan telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sewaktu
sesi mengadap semalam.
“Ini adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua
Utama Negara dan tidak patut dimaafkan.
“Kami berpandangan mesti ada tindakan
tegas terhadap penipuan yang dilakukan di peringkat tertinggi sehingga sanggup
tidak bercakap benar dan mengelirukan Seri Paduka Baginda,” katanya menerusi
kenyataan kepada media hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Amanah Negara
(Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menurut Anwar, tindakan menangguhkan undi tidak percaya sehingga
September amat tidak wajar kerana isu sokongan terhadap Muhyiddin dan
kestabilan kerajaan PN mesti diputuskan sekarang.
Kata beliau, selagi mana ia ditangguhkan,
selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat
diselesaikan.
Malah, Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun lalu betapa
pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti
rakyat.
“Rakyat yang tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik
Covid-19, termasuk jumlah kes dan kematian yang begitu tinggi setiap hari
mewajibkan kita menyelesaikan masalah ini sekarang,” katanya.
Beliau mengulangi pendirian MPPH dan semua parti dalam blok
pembangkang termasuk Ahli-ahli Parlimen yang telah menarik sokongan terhadap
Muhyiddin iaitu mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk
memutuskan isu itu.
“Kami turut memohon semua penjawat awam terutamanya badan
penguatkuasa terus bertindak secara profesional, neutral dan tidak sesekali
mengikut selera politik parti pemerintah sekarang untuk menekan atau mengugut
Ahli-ahli Parlimen khususnya dalam hal sokongan terhadap Muhyiddin,” katanya.