Kenyataan Timbalan Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat, Datuk Rashid
Hasnon mencadangkan bilangan Ahli Parlimen dihadkan pada Mesyuarat penggal
baharu Dewan Rakyat bermula 6 September depan, atas alasan mengekang penularan
wabak Covid-19 dianggap tidak relevan.
Menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), biar
pun mereka prihatin akan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyatakan
terdapat 97 kes positif Covid-19 terkait Parlimen, termasuk satu kematian
melibatkan pegawai kepada timbalan menteri namun hal itu bukan alasan kukuh
menghadkan kehadiran Ahli Parlimen.
"Kami berpandangan alasan ini tidak lebih sekadar ulang
tayang menggunakan alasan sama Covid 19 sejak tahun lepas bagi menggantung
fungsi Parlimen walaupun pelbagai alternatif dan teknologi telah digunakan di
negara luar agar Parlimen terus beroperasi dengan efektifnya.
"Adakah cadangan menghadkan kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan
Rakyat adalah salah satu cubaan melengahkan dan terus menunda persidangan
Parlimen? Atau apakah ini suatu langkah menghalang proses pengundian bagi Usul
Percaya terhadap Perdana Menteri daripada berjalan dengan lancar dan
adil?" tanya Bersih 2.0.
Menurut kenyataan itu lagi, Parlimen Malaysia seharusnya belajar
daripada pengendalian urusan Parlimen di negara luar terutama negara maju yang
mempunyai banyak kes Covid tetapi institusi pembuat undang-undang mereka tetap
berjalan lancar.
"Setelah Malaysia hidup dengan norma baharu dan terpaksa
hidup dengan Covid-19 bagi tempoh satu setengan tahun, kami serta rakyat
keseluruhannya mempersoal usaha sebenar Kerajaan, khususnya KKM menyediakan
persekitaran yang selamat untuk institusi Parlimen, selaku badan semak imbang
terpenting negara agar terus berfungsi. Gantung dan tunda Parlimen bukan lagi
penyelesaiannya. Apakah KKM mengharapkan dengan kaedah sama bakal membuahkan
keputusan yang berbeza?
"Kami mendesak pihak KKM dan Parlimen Malaysia mengambil
langkah proaktif bagi instiusi Parlimen terus berjalan tanpa diratib lagi
alasan Covid-19 bagi menghalang aktiviti demokrasi dan semak imbang kepada
dasar-dasar negara. Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat mesti disegerakan bagi
membenarkan persidangan Parlimen dan mesyuarat Jawatankuasa Parlimen diadakan
secara maya mahupun mod hibrid," kata pertubuhan itu.
Selain itu, BERSIH 2.0 juga mengingatkan agar Ketua Pengarah
Kesihatan menjalankan tugas secara berkecuali dan tidak cenderung kepada
mana-mana pihak dalam menguatkuasakan prosedur kesihatan atau Prosedur Operasi
Piawai berhubung sidang Parlimen.
"Kami ingin mengingatkan KP Kesihatan supaya menjalankan
tugasnya secara profesional dan kekal berkecuali dalam politik. KKM dan
pandemik Covid-19 tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik Kerajaan Perikatan
Nasional bagi menghalang undi percaya di Parlimen.
"Selanjutnya, jika KP Kesihatan tidak dapat mengendalikan
virus Covid-19 di sebuah kawasan tertutup Parlimen untuk persidangan parlimen
yang penting ini, adakah kita benar-benar boleh mengharapkan beliau menangani
wabak Covid-19 di seluruh negara?
"Justeru kami percaya proses demokrasi yang terencat hanya
akan merencatkan lagi usaha menangani dan mengekang penularan pandemik Covid-19
yang tidak kebah kini. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih," kata
mereka lagi.