Selain mungkin sedang sibuk mencalonkan nama menteri-menteri,
gabungan PN yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar iaitu 50 dalam
kerajaan baru pimpinan Ismail Sabri Yaakob juga pastinya begitu mengidamkan
jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Daripada 50 kerusi itu di mana Bersatu mempunyai Ahli Parlimen
paling ramai – 31 orang tentu saja Ahli Parlimen parti itu yang paling layak diberikan
jawatan tersebut.
Setakat ini dilaporkan tiga nama bersaing berebut sesama sendiri
untuk jawatan itu – Azmin Ali, Hamzah Zainuddin dan Redzuan Mohd Yusof.
Ketiga-tiganya adalah menteri di era kepimpinan Mahiaddin Md
Yasin sebelum ini.
Tetapi, mengapa hanya tiga nama itu saja disenaraikan?
Kenapa diketepikan nama Ahmad Faizal Azumu, bekas Menteri Besar
Perak yang juga adalah Timbalan Presiden Bersatu?
Apa kurangnya kelayakan dan kemampuan beliau jika dibandingkan
dengan Azmin, Hamzah dan Redzuan?
Jika ada yang cuba berhujah bahawa Redzuan paling layak kerana
didakwa merupakan pejuang asal sejak Bersatu ditubuhkan, bukankah Ahmad Faizal
atau Peja juga merupakan antara yang terawal bersama dengan Bersatu?
Tambahan lagi, dibandingkan dengan Redzuan yang kalah bertanding
Naib Presiden Bersatu, Peja sebaliknya menang tanpa bertanding sebagai Timbalan
Presiden Bersatu dalam pemilihan lalu.
Dengan pengalaman sebagai bekas Menteri Besar Perak, ditambah
kedudukan hireaki tinggi di bawah Mahiaddin dalam Bersatu, beliaulah sebenarnya
paling layak digandingkan dengan Ismail Sabri memimpin negara ini.
Selain Redzuan hanya diberi jawatan lantikan dalam Bersatu iaitu
Ahli MPT, Azmin dan Hamzah lebih rendah jawatannya dalam Bersatu jika
dibandingkan dengan Peja.
Hamzah adalah Setiausaha Agung Bersatu dan Setiausaha Agung PN,
sementara Azmin ialah Ketua Penerangan PN – kedua-duanya merupakan jawatan
ihsan serta lantikan Mahiaddin semata-mata.
Azmin dan Hamzah juga bukan pejuang asal Bersatu, sebaliknya
melompat daripada PKR dan UMNO.
Atas faktor tersebut, adalah sangat wajar dan munasabah untuk
Bersatu dan PN menamakan Peja sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru.
Begitu pun, kiranya Peja dirasakan terlalu muda dan belum sesuai
memegang jawatan tersebut, orang yang paling layak sekali ialah Mahiaddin
sendiri.
Meskipun beliau bekas Perdana Menteri, tetapi untuk memastikan
dasar-dasar kerajaan sebelum ini diteruskan, terutama untuk mengekalkan jenama
PN itu sendiri sebagai kesinambungan kerajaan, keberadaan Mahiaddin boleh
dikata amatlah penting.
Dengan kedudukannya sebagai Presiden Bersatu, beradanya beliau
dalam kerajaan bukan saja lebih memberi kestabilan kepada kerajaan PN, malah
merupakan jalan damai antara pemimpin-pemimpin Bersatu yang berbalah mahukan
jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.
Ismail Sabri dalam hal ini boleh memainkan peranan dengan memujuk Mahiaddin sehabis baik agar setuju berada dalam kerajaan bersama-sama dengannya. – ShahbudinHusin
(SHAHBUDIN HUSIN 22/08/2021.)