INNALILLAHI WAINNA ILAIHIRAAJI'UN TAKZIAH PM ISMAIL SABRI - SIMPATI KEPADA KAMU



1. Seluruh rakyat menanti penuh minat barisan anggota Kabinet Ismail Sabri. Hari ke tujuh selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke 9, akhirnya penantian itu terjawab hari ini. 


2. Dari penantian penuh minat akhirnya Ismail Sabri terpaksa menerima kenyataan rakyat tidak menyambutnya dengan baik. Bukan pujian, sebaliknya cercaan dan sindiran yang beliau terima. 


3. Umpama pasukan bola sepak kebangsaan yang gagal dalam kejohanan antarabangsa, gagal meraih sebarang piala. Setelah menukar Pengurus pasukan, maka peminat mengharapkan Pengurus baru menukar pemain kepada yang lebih baik, ternama, berwibawa dan berkualiti. Namun apa yang  terjadi Pengurus hanya mengguna pakai pemain sedia ada dengan hanya menukar beberapa posisi. Striker ditukar ke posisi pertahanan, pemain saya dijadikan pemain tengah, pertahanan ditukar ke sayap dan penjaga gawang dijadikan striker. 


4. Inilah yang dilakukan oleh Ismail Sabri dalam melantik Menteri dan Timbalan Menteri. Wal hasil balik asal. Namun kehendaknya amat besar iaitu untuk mengemudi negara keluar dari kemelut politik, kesihatan dan ekonomi. 


5. Amat mengecewakan. Ini sahaja yang wajar diluahkan oleh seluruh rakyat. Tempoh 100 hari diberikan kepada 69 orang Menteri dan Timbalan Menteri untuk menunjukkan prestasi. Dari hari pertama ini rakyat sudah boleh menjangkakan apa hasilnya pada hari ke 100 nanti - GAGAL. Dari sebuah kerajaan gagal, Ismail Sabri mengutip kembali Menteri dan Timbalan Menteri yang gagal. Lalu kegagalan juga yang menanti di hadapan.


6. Persoalannya mengapa Ismail Sabri hanya melakukan "recycle" Menteri dan Timbalan Menteri? Jawapannya ada dua sahaja.


7. Pertama, dalam kalangan 113 Ahli Parlimen yang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri, ini sahaja yang paling berkualiti dari semua yang tidak berkualiti. Paling bagus dari semua yang tidak bagus. Maknanya ini sahaja yang Ismail Sabri ada untuk diangkat menjadi Menteri dan Timbalan Menteri. 


8. Kedua, Ismail Sabri terpaksa tunduk kepada tekanan politik dalaman. Hari ke tujuh menjadi Perdana Menteri dan hari pertama perlantikan Kabinet, telah memperlihat kegagalan pertama Ismail Sabri. Meng"recycle" Menteri dan Timbalan Menteri gagal dari kerajaan terdahulu yang gagal, membuktikan berlaku pertarungan politik dalaman maha hebat di antara parti-parti politik yang menyokong beliau. Mahu tidak mahu Ismail Sabri terpaksa tunduk akur kepada tekanan ini. Oleh itu hasrat beliau untuk meredakan kemelut politik rupanya gagal. Dan kegagalan ini terserlah dalam Kabinet yang baru diumumkan.


9. Tindakan awal Ismail Sabri mengadakan perbincangan dengan pimpinan utama Pakatan Harapan iaitu Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mat Sabu sangat baik. Ini langkah ke hadapan. Meredakan ketegangan politik Kerajaan - Pembangkang. Menjanjikan beberapa perkara asas terkait usaha membendung Covid19, memulih ekonomi dan melibatkan pembabitan pembangkang secara menyeluruh dalam semak dan imbang, termasuk menerima pada asasnya beberapa saranan pembangkang adalah langkah yang baik. Namun melihat senarai Menteri dan Timbalan Menteri yang baru dilantik, Ismail Sabri dilihat turut terperangkap di dalam ruang lingkup yang akan melingkupkan beliau.


10. Dengan sokongan majoriti yang amat tipis, Ismail Sabri sudah dilihat tiada upaya untuk mengemudikan negara ini keluar dari malapetaka Covid19 dan ekonomi merudum. 


11. Bagi menyelamatkan rakyat dan negara, saya bersetuju dengan DSAI, Presiden Keadilan merangkap Ketua Pembangkang bahawa pembangkang wajib ke hadapan, bantulah Ismail Sabri, kerana beliau awal-awal lagi sudah berada dalam keadaan yang amat lemah. Kabinetnya tidak lebih dari sampah yang membusukkan. Dahulukan kepentingan rakyat dan negara. Dalam masa yang sama peranan selaku pembangkang hendaklah dilipatgandakan. Menegur kesalahan kerajaan, mengkritik mana yang tidak betul, melakukan semak dan imbang dengan tegas wajib diteruskan. 


12. Kasihanlah kepada Ismail Sabri. Dan lebih kasihan lagi kepada seluruh rakyat yang umpama sudah jatuh ditimpa tangga. 


13. Kepada Ismail Sabri saya berpesan, usah malu untuk meminta pertolongan dari Ketua Pembangkang. Usah malu meminta belas ihsan dari Pakatan Harapan. Demi rakyat dan negara kami sedia membantu. Kami tahu kamu lemah. Lebih dilemahkan lagi oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang baru kamu lantik. Usah bergantung harap sangat kepada mereka. Kamu lebih tahu tentang mereka. Kami tahu kamu sedang tersepit. Kami tahu kamu sedang terhimpit. Hari ke 100 nanti jika Menteri dan Timbalan Menteri itu gagal, membawa makna kamu yang gagal sebenarnya. Dan pada hari itu nanti, berundurlah. Pengunduran itu pastinya dihormati dan bermaruah.


14. Kepada Allah jua kita berserah dan bermunajat semoga rakyat dan negara yang kita cintai ini diberi jalan keluar dari kesusahan dan penderitaan.


Salam hormat.


Aki Rock