Oleh: Mohammad Agus Yusoff (PhD), Pensyarah Kanan Sains Politik,
UKM
1. Mengapakah setiap tahun kita menyambut hari kemerdekaan
dengan membincangkan soal komunis. Apakah komunis yang menjajah kita? Kita
dijajah oleh British, bukannya komunis.
2. Jadi, apa kaitannya komunis dengan kemerdekaan kita? Di Tanah
Melayu, komunis ini adalah parti politik sahaja yang menubuhkan Parti Komunis
Malaya (PKM) pada tahun 1930.
3. UMNO pula ditubuhkan 16 tahun selepas itu. Seperti UMNO, PKM
juga menentang penjajah British. Bezanya, setelah penubuhan Persekutuan Tanah
Melayu pada tahun 1948, UMNO menjadi baik dengan British, manakala Melayu yang
berhaluan kiri menentangnya.
4. Antaranya ialah Pak Sako dan Ibrahim Yaakob. Mereka
menubuhkan KMM dan PKMM untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. British tidak
senang dengan perjuangan ini lalu melabelkan mereka komunis. Begitulah British,
jika ada yang melawannya dilabelkan sahaja sebagai komunis.
5. British tanamkan perasaan benci kepada komunis supaya orang
Melayu sayangkan British sedangkan British lah yang menjajah kita. Jika di
Indonesia, sesiapa sahaja yang bekerja dengan penjajah Belanda dipanggil anjing
Belanda.
6. Kita telah lebih enam dekad merdeka. Namun, setiap kali
kemerdekaan kita masih bincangkan tentang komunis. Untuk apa?
7. Hendak kata komunis masih ancaman pada negara, kerajaan telah
pun menandatangani perjanjian damai dengan PKM di Haadyai pada 2 Disember 1989,
dan sejak itu berakhirlah ancaman PKM.
8. Maka, setelah 64 tahun merdeka, kita bawalah naratif baharu
dalam meraikan kemerdekaan. Kita sambut kemerdekaan dengan wajah Keluarga
Malaysia—nama kerajaan baharu kita.
9. Jangan jadi seperti penjajah British yang suka melabelkan
pihak yang tidak disukainya. Usah kita menanam benci hanya kerana perbezaan
politik.
10. Tahun ini kita sambut kemerdekaan dalam suasana pandemik
dengan keadaan ramai rakyat susah. Oleh itu, muncul lah banyak program
‘kerajaan menjaga rakyat’ dalam dua hari berbaki ini daripada mengisahkan
tentang komunis.