Terlebih dahulu, saya ingin menarik kembali tulisan saya di FB
di sini https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10225892967292875&id=1294492216
apabila saya dimaklumkan bahawa sebenarnya Sjn Wan Ramli Wan Seman tidak pernah
dipanggil untuk bertugas semula. Di dalam tulisan saya sebelum ini, saya
menyatakan perkhabaran bahawa anggota tersebut telah dipanggil semula untuk
berkhidmat.
Saya telah berhubung dengan anggota tersebut untuk kepastian dan
memang benar beliau tidak pernah dipanggil semula untuk berkhidmat dan beliau
akan menyelesaikan isu ini melalui perundangan di mana beliau telah mengambil
seorang peguam.
Saya telah menulis bahawa secara peribadi saya bersetuju dengan
tindakan ATM untuk mewajibkan semua warga tentera bagi mengambil vaksin
berdasarkan keperluan meskipun pengambilan vaksin tidak diwajibkan oleh
kerajaan. Keputusan ATM ini tentunya telah mengambil kira baik dan buruknya
keputusan ini apatah lagi ATM merupakan satu organisasi yang bekerja rapat
secara berkumpulan.
Cuma, apa yang saya persoalkan adalah kewajaran mengambil
tindakan tatatertib sehingga menjatuhkan satu hukuman yang terlalu keras
seolah-olah menyamakan tindakan tidak mengambil vaksin itu satu kesalahan
jenayah besar. Saya juga mempersoalkan tentang kaedah--kaedah perbicaraan dan
hukuman yang dilaksanakan. Mengikut Akta Angkatan Tentera 1972 dan merujuk
kepada Warta Kerajaan, bukankah sebarang hukuman yang melibatkan pemberhentian
seseorang warga tentera itu, perlu yang dituduh diberi 'option' samada menerima
terus hukuman Pegawai Memerintah atau memilih untuk dibicarakan di mahkamah
tentera?
Jika 'option' ini tidak diberikan, maka saya rasa terdapat
kecacatan di dalam perbicaraan tersebut. Tindakan PTD membuat tawaran kepada
anggota berkenaan untuk bertugas semula sekiranya sanggup menerima vaksin, pada
saya itu bukan cara untuk menyelesaikan isu ini. Bahkan, tindakan itu
seolah-olah PTD boleh mengubah hukuman yang dijatuhkan oleh Pegawai Memerintah.
Itu tidak baik untuk ATM. Paling baik adalah PTD menasihatkan agar Pegawai
Memerintah mematuhi prosedur perbicaraan dan anggota perlu dipanggil untuk
perbicaraan semula.
Amatlah penting sebagai satu organisasi yang penuh dengan
dedikasi dan disiplin, ATM perlu peka dengan kejadian seumpama ini. Kita tidak
mahu melihat warga tentera mulai rasa hilang kepercayaan terhadap perundangan
ATM. Tindakan anggota berkenaan untuk membawa kes ini ke mahkamah adalah satu
tindakan dan hak baginya untuk menuntut keadilan.
WFAUZDIN NS