Hanya dua tiga orang letak jawatan,
itu pun belum ‘confirm’
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berjalan keluar
selepas mengadakan pertemuan khas dengan sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO di
Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.
KUALA LUMPUR – Pertemuan sekumpulan ahli Parlimen UMNO bersama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanyalah perbincangan
mengenai keputusan parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan
Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul
Abidin berkata, dalam pertemuan yang berakhir kira-kira jam 1.45 pagi Rabu itu
juga tiada sebarang peletakan jawatan baharu dimaklumkan.
”Tak ada letak jawatan, yang ada dua tiga orang
itu pun belum confirm,” katanya ketika ditanya hasil pertemuan tersebut oleh para
wartawan yang menunggu di perkarangan Hotel Seri Pacific sejak jam 10 malam
Selasa.
Sementara itu, turut kelihatan beredar meninggalkan hotel
tersebut Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang
enggan mengulas apabila ditanya tentang pertemuan dengan Naib Presiden UMNO
itu.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk
Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berjalan keluar selepas mengadakan pertemuan khas
dengan sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.
Beberapa pemimpin lain yang dilihat meninggalkan hotel tersebut
termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli
Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Terdahulu Ismail Sabri tiba di Seri Pacific kira-kira jam 12.30 pagi selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.