Abdul Hadi perlu perbetulkan cara berenang
ULASAN
Hadi: Ideanya tidak relevan? |
BUKANLAH maksud saya hendak mengajar itik pandai berenang,
tetapi niat mahu menunjukkan itik supaya berenang secara betul dan munasabah
bertujuan memberi makna yang lebih bererti lagi sesuai dengan fitrah kehidupan.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang telah menulis dalam
ruangan Catatan Minda dalam medsosnya, mengajak tiga buah buah
parti; Pas, Umno dan PBBM menjadi pelopor perubahan ke atas negara ini.
Alasan beliau kenapa menamakan hanya tiga buah parti itu sahaja,
kerana parti itu merupakan parti Melayu-Islam dan Bumiputera.
Seperti sering saya ungkapkan, gerakan ke arah penyatuan demi menguatkan bangsa
dan mendaulatkan agama sangat dialu-alukan. Ia menjadi cita-cita bersama sejak
lama dulu lagi. Tidak ada mana-mana warga yang cintakan perdamaian, menolak gagasan
itu. Sebab itulah saya sangat teruja dan kagum dengan cara Allahyarham Mohd
Asri Muda bersiasah. Asri tidak taksub, tidak kolot dan senantiasa
insaf dengan keadaan semasa. Politiknya sungguh dinamik dan realis.
Tetapi apa yang membuatkan saya sedikit merasakan pelawaan dan hasrat Abdul
Hadi itu sedikit cacat apabila beliau hanya menyebut tiga buah parti itu sahaja
tanpa menyebut dan mengambil kira sama parti-parti lain. Malahan parti lain
dipersepsikan sebagai tidak yakin dengan Islam dan dipandang dengan penuh
pesimis. Dianggap parti yang negatif dengan idealimse Islam dan bangsa.
Tanggapan ini bagi saya sesuatu yang tidak baik dalam negara majmuk bersistem
demokrasi seperti Malaysia.
Pendirian seperti ini tidak akan mencapai hasrat perpaduan dan keharmonian
penuh seperti yang kita harapkan. Dan sikap dan pengabaian itu juga seolah-olah
Abdul Hadi tidak iktiraf kewujudan parti-parti lain yang juga berjuang ke arah
itu dengan mekanismenya tersendiri. Beliau seolah-olah jahil dengan matlamat
penubuhan parti-parti itu dan angkuh dengan parti sendiri. Seolah-olah tidak
hafal membaca perlembagaan negara dan memahaminya.
Apakah parti lain tidak berjiwa Melayu dan Islam? Parti Keadilan,
Parti Amanah Negara (Amanah), Warisan, mereka terlalu
sangat jauh dengan Islam dan daripada menjaga dan bertanggungjawab ke atas
kepentingan Melayu?
Apakah mereka jahil mengenai tanggungjawab mereka kepada masa depan negara dan
kepentingan agama. Apakah agama yang mereka amalkan batal? Seperti itulah
agaknya yang ada dalam mata dan tersandar di minda Abdul Hadi.
Bahkan kalau diikutkan kepada semangat kenegaraan, DAP juga perlu diajak sama
demi perpaduan. DAP juga ada tanggungjawab dan peranan untuk mengharmonikan dan
membangun negara dengan semangatnya. Jika idealisme sosialis DAP ada yang
bercanggah dengan semangat syumul Islam, ia boleh ditegur dan diperelokan
dengan penuh hikmah sesuai Pas sebagai parti dakwah. Arwah Nik Abdul
Aziz pernah menjelaskan kenapa Pas perlu berkawan dengan Cina kerana
ingin memberi kefahaman Islam kepada mereka.
Pencetus idea.
Seharus apa yang perlu dilakukan Pas dalam suasana negara hari ini, yang
diancam pandemik, berdepan dengan masalah ekonomi yang sukar diramal, ketidak
stabilan politik, mengajak semua parti bersatu fikiran. Pas sebagai parti
berdasarkan agama seharusnya mengambil inisiatif bagi menyatukan pemikiran
semua parti politik demi negara. Pas patut jadi parti pencetus idea penyatuan
keseluruhan. Parti mana lagi diharap memainkan peranan itu kalau bukan Pas?
Kenapa Abdul Hadi tidak mengambil kesempatan ini untuk mengatur dan membentang
satu naratif politik baru Malaysia menuruti neraca fikir Pas yang berprinsipkan
Islam. Dengan menghadkan cadangan kepada tiga buah parti sahaja untuk menjadi
pelopor perubahan, jelas pemikiran beliau masih berada dalam kotak lama yang
dibelenggu oleh tempurung bulu kebencian menebal yang tidak membawa banyak
faedah.
Sikap dan cara berfikir demikian sudah tidak relevan lagi pada masa ini.
Ramai yang menunggu peranan Pas ini. Parti itu membentangkan satu formula atau
petua bagaimana untuk parti-parti politik duduk semeja bagi menghadapi masalah
negara. Pas seharusnya muncul sebagai parti penyelamat keadaan bukannya terus
membelahkan suasana dengan menyuburkan isu perkauman dan kebencian serta memperalatkan
agama sedemikian rupa. Pas kena menjadi Pas pemanggil ke arah kebaikan bukan
pembelah kepuakan. Pas sewajarnya menggunakan agama untuk kepentingan universal
bukan kepentingan peribadi yang sedikit.
Sayanglah, kalau Pas tidak nampak keperluan dan kepentingannya dengan keadaan
yang ada hari ini. Masa masih ada untuk Pas memperbetulkan langkah yang sumbang
dan songsang yang dilontarkan Abdul Hadi itu. Pemimpin lain dalam Pas (yang
saya kira menyedari hal ini) boleh melakukan sesuatu. Pas perlu memperbetulkan
cara berenang presiden mereka yang cacat itu. Perlu ada pemimpin yang berani
dalam Pas untuk meralat perkara ini. Menegur bukan bermakna menentang tetapi
membawa hikmah sayang.
Untuk mencapai itu buangkan rasa hormat melulu dan "malu alah" tidak
bertempat anda kepada presiden kerana jelas dan nyata setengah tindakan, idea
dan pemikirannya tidak lagi melambangkan pemikiran daripada sebuah gerakan
sosial politik Islam seperti Pas. Cara berenangnya salah dan lapok.
Dan percayalah kalau tidak ada yang berani menyanggah dan melintangnya, selama
itulah presiden itu merasakan beliaulah sahaja yang betul. Tidak sedemikian
bukan memberi kebaikan kepadanya, bahkan terus menjadikan beliau sangat Joker
ditertawakan dunia. Elakkan presiden Pas terus digelak oleh dunia dan
membiarkan dia dalam zone syok dan hebat sendiri apa lagi saat beliau kini
sudah berada di penghujung. [wm.kl. 11:34 am 11/08/2021].