Umno tarik sokong pada Muhyiddin, gesa PM berundur




KUALA LUMPUR: Umno malam ini secara rasmi menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan mahu presiden Bersatu itu meletakkan jawatan.

Perkara itu diumumkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media seusai mesyuarat lebih empat jam Majlis Kerja Tertinggi Umno, melewati tengah malam.

“Tempoh memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta,” katanya.

“Umno mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.”

Zahid berkata MKT membuat keputusan itu selepas mendapati Muhyiddin gagal memuaskan garis panduan yang ia tetapkan pada 11 Mac 2020 sebagai syarat meneruskan sokongan kepada Muhyiddin.

Keputusan ini, tegasnya, “memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan” pada Perhimpunan Agung Umno 2020.

“Mesyuarat MT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di PAU Umno 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Anwar Ibrahim (presiden PKR) sebagai Perdana Menteri, atau pun kerajaan yang ditunjangi DAP-Pakatan Harapan,” tambahnya.

Pada sidang media itu, Zahid tidak menyentuh mengenai pelantikan ahli Umno, Ismail Sabri Yaakob, sebagai Timbalan Perdana Menteri, mahu pun Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan.

Pelantikan mereka diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam, ketika Umno dikatakan sedang membincangkan cadangan keluar kerajaan.

PMO ketika mengumumkan pelantikan Ismail dan Hishammuddin berharap langkah ia akan “memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan”.

Menjelaskan rancangan Umno, Zahid berkata parti Melayu itu mahu tempoh Perdana Menteri baharu hanya tumpu usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif, dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi disegerakan.

Perdana Menteri baharu itu juga dikehendaki segera menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk PRU15 diadakan, apabila imunisasi kelompok tercapai.

“Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan,” katanya.