Tok Mat dilantik Pengarah Pilihanraya Umno
ganti Tajuddin.
Beberapa
hari selepas lantang mengkritik kepimpinan tertinggi Umno, parti itu
mengumumkan kedudukan Tajuddin Abdul Rahman selaku pengarah pilihan raya parti
itu digantikan.
Tugas
itu kini diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan.
Pertukaran
itu diumumkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Ahmad Zahid, Mohamad ketika ini juga menjalankan tugas sebagai
pengerusi War Room BN dan Umno.
“Penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya Umno ini bagi
memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi,” katanya.
Asalnya Tajuddin dilihat menjadi orang yang dipercayai Ahmad
Zahid apabila dilantik ke jawatan penting itu pada 4 Nov tahun lalu dengan
tugas menyediakan parti menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ia berlaku ketika ada ura-ura Umno mahu bekerjasama dengan
menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri
menggantikan Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun Tajuddin mula menampakkan tanda dia tidak
sependapat dengan Ahmad Zahid selepas ahli parlimen Bagan Datuk itu mengumumkan
pendirian parti untuk menarik sokongan ahli parlimen mereka daripada Muhyiddin
pada 8 Julai lalu.
Semasa membacakan keputusan Majlis Tertinggi Umno itu, Ahmad
Zahid juga meminta Muhyiddin berundur dari jawatan perdana menteri secara
terhormat.
Semalam pula tersebar audio suara Tajuddin
mendakwa keputusan Umno menarik diri daripada menyokong Muhyiddin bukan
keputusan Perhimpunan Agong Umno.
Ahli
parlimen Pasir Salah itu juga mempersoal tindakan pemimpin tertinggi Umno
kerana tidak menyatakan ucapan tahniah kepada naib presiden mereka, Ismail
Sabri Yaakob, yang dilantik menjadi timbalan perdana menteri.
Katanya,
perbuatan sedemikian seolah-olah pucuk pimpinan parti itu tidak bersetuju
dengan pelantikan itu.
Menurut
Ahmad Zahid, Umno membuat pelantikan baru bagi memudahkan proses membuat
keputusan dalam parti.
“Dengan kedudukan Mohamad sebagai timbalan pengerusi BN, ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan pilihan raya yang melibatkan semua parti-parti komponen,” katanya.