Terkini! Zahid, Najib gagal minta ahli parlimen UMNO keluar kerajaan – sumber

 


Terkini! Zahid, Najib gagal minta ahli parlimen UMNO keluar kerajaan – sumber


Ahli Parlimen (MP) UMNO dan Barisan Nasional (BN) menolak cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak supaya keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa pertemuan di ibu pejabat UMNO awal hari ini.

Agenda Daily difahamkan beberapa Ahli Parlimen UMNO dipanggil Zahid dan Najib untuk hadir ke PWTC dan sumber memberitahu salah seorang MP UMNO yang hadir semasa pertemuan tadi adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu bertemu dengan Zahid dan Najib bagi membincangkan isu penarikan sokongan daripada kerajaan PN.

Menurut sumber, Zahid dan Najib mencadangkan supaya Menteri dan Timbalan UMNO keluar daripada kerajaan PN, sementara MP UMNO yang memegang jawatan-jawatan lain dalam kerajaan juga perlu mengambil langkah sama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin UMNO itu juga dikatakan meminta untuk mengadakan pertemuan secara perseorangan dengan setiap MP UMNO, namun cadangan tersebut ditolak.

Sebaliknya MP UMNO meminta pertemuan itu mesti diadakan dengan memanggil semua MP dan bukan pertemuan secara individu.

Sumber memberitahu, cadangan tersebut ditolak MP UMNO atas alasan mahu menumpukan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dihadapi negara dan ia bukan masa yang sesuai untuk terus bermain politik pada ketika negara sedang berdepan cabaran yang lebih besar.

“MP UMNO menyifatkan langkah untuk tarik sokongan dan keluar daripada kerajaan PN ketika ini tidak sesuai… kini bukan masanya untuk berpolitik kerana masalah yang dihadapi negara lebih besar,” kata sumber kepada Agenda Daily.

Sementara itu, susulan cadangan tersebut ditolak, spekulasi mengatakan bakal berlaku satu pengumuman besar kononnya MP UMNO dan BN akan membuat keputusan keluar daripada kerajaan PN malam ini tidak akan berlaku.

Terdahulu, Agenda Daily mendedahkan beberapa ahli Majlis Tertinggi UMNO dan pemimpin komponen BN berada di ibu pejabat UMNO, PWTC yang difahamkan sedang berbincang untuk membuat pengumuman keluar daripada kerajaan PN malam ini, ia selepas berakhir tempoh 14 hari diberikan Zahid pada hari ini.

Wartawan Agenda Daily di lokasi memberitahu, dua ahli MT UMNO dilihat sudah memasuki bangunan UMNO tersebut, antaranya Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kemudiaan, Najib juga tiba di PWTC dengan sebuah kereta berwarna putih yang membawanya masuk ke ruangan parkir dalam bangunan.

Dalam perkembangan lain, Putrajaya juga menetapkan tarikh sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai, kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Sidang Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada MP mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.