Laungan ‘derhaka’,
‘letak jawatan’ ketika Anwar baca kenyataan Agong
Anwar Ibrahim berkata, negara bukan sahaja menghadapi krisis
Perlembagaan, tetapi kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin turut menghina Agong
dan menipu Ahli Parlimen serta rakyat.
KUALA
LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh dengan laungan derhaka dan gesaan supaya Perdana
Menteri, Muhyiddin Yassin meletak jawatan, selepas Yang di-Pertuan Agong
mendedahkan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.
“Derhaka…derhaka.
Letak jawatan, rujuk dia,” kata beberapa Ahli Parlimen pembangkang ketika Anwar
Ibrahim (PH-Port Dickson) membaca kenyataan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Anwar berkata, negara bukan sahaja menghadapi krisis
Perlembagaan, tetapi kerajaan pimpinan Muhyiddin turut menghina Agong dan
menipu Ahli Parlimen serta rakyat.
Ketua Pembangkang itu berkata, Agong juga menyebut secara khusus
nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin
Hassan yang bertindak mengelirukan Dewan Rakyat.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan Kabinet yang diketuai Muhyiddin
telah melanggar Perlembagaan, menghina institusi diraja, khususnya Agong dan
ini termasuk Takiyuddin mengelirukan Dewan.
“(Beliau) tidak bercakap benar pada Dewan dan kelirukan rakyat
Malaysia. Kita tidak ada pilihan, selain tuntut Perdana Menteri letak jawatan,”
katanya di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat.
Katanya, Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana pembatalan
Ordinan Darurat tidak dikemukakan untuk mendapat perkenan baginda.
Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Rashid Hasnon
menyifatkan kenyataan Agong itu sebagai “kenyataan media”.
Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangkit mempersoalkan kenapa
Rashid melindungi menteri daripada menjawab perkara itu, selepas beliau meminta
perbahasan mengenai pakej rangsangan diteruskan.
Katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun perlu
meletak jawatan, jika usul difailkannya semalam mengenai Takiyuddin
mengelirukan Dewan Rakyat tidak dibahaskan.
“Ia satu perkara yang patut diberi keutamaan kerana isu itu
sangat serius. Isu berkenaan kuasa, kenapa sehingga sekarang usul itu tidak
dibahaskan?
“Bukan setakat Kota Bharu (Takiyuddin), semua menteri di situ
tahu. Kenapa Speaker melindungi mereka?” soalnya.
Lebih ramai Ahli Parlimen kemudiannya menuntut Azhar, Muhyiddin
dan Takiyuddin hadir di Dewan Rakyat kerana ketiga-tiganya tiada di dalam Dewan
ketika ini.
Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mencadangkan Dewan Rakyat
ditangguhkan hari ini kerana timbul isu kontroversi.
“Tangguh sementara dulu. Ini perkara serius.”
Rashid kemudian menangguhkan sidang Dewan Rakyat selama 15
minit.
Bagaimanapun, selepas penangguhan sidang selama 15 minit, Rashid
memaklumkan Dewan Rakyat akan disambung semula 2.30 petang ini.
“Saya telah adakan sedikit perbincangan dan membuat keputusan untuk menangguhkan mesyuarat ini, kemudian dimulakan semula 2.30 petang.”