Rakyat berPKP, Timb Menteri tambah bini?
Seorang Timbalan Menteri Kerajaan Perikatan Nasional didakwa bernikah seorang lagi menggunakan jurunikah di Selatan Thailand ketika rakyat Malaysia berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Menteri yang berasal dari Kelantan itu didakwa melakukan prosedur pernikahan yang agak aneh kerana beliau didakwa berada di Malaysia sedangkan jurunikah di luar negara.
Bagi Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu, Zinda Khalil Sastro Hassan, pernikahan seperti itu bukan sahaja dipertikaikan tetapi menyebabkan rakyat kurang senang, ketika mereka menghadapi suasana PKP yang perit menteri boleh pula menambah isteri.
“Rakyat Kelantan semakin tertekan, MP dan juga merupakan Timbalan Menteri sibuk dengan nikah kawin.
“Rakyat di bawah hidup melarat. Tiada kerja, tiada sumber pendapatan atau peluang pekerjaan.
“Inilah gelagat MP Pas. Utamakan kepentingan peribadi daripada keutamaan rakyat,” katanya dipetik.
Selain itu, Zinda juga mahu pihak berkuasa agama di Malaysia mengeluarkan kenyataan sama ada nikah menggunakan jurunikah dari Selatan Thailand dibenarkan pada waktu PKP.
“Adakah sah cara perkhawinan macam tu? Yang dibenarkan Jakim (nikah) online (hanya) di Malaysia. Tetapi ni Malaysia dan Thai,” katanya lagi.
Semalam tular di media sosial video dan salinan surat nikah seorang Timbalan Menteri yang dikeluarkan oleh Yang Dipertuan Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat.
Pernikahan tersebut berlangsung pada 1 Jun lalu, pada waktu Kerajaan PN mengenakan PKP atau lockdown seluruh negara termasuk di Kelantan.
Pernikahan menurut dokumen dikatakan berlangsung di Masjid Kedai Baru, Jajahan Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand.