Pihak berkuasa Fiji telah membantu Page bagi memastikan kehadirannya di pulau tersebut disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai.
SUVA: Pengasas bersama Google, Larry Page dilaporkan
menghabiskan masa ketika pandemik COVID-19 yang belum berakhir dengan
bersembunyi di sebuah pulau tropika di Fiji.
Bilionair itu dikatakan tinggal di Pulau
Tavarua yang berbentuk seperti hati manusia di barat Fiji.
Page, 48, dilaporkan mendapat kebenaran untuk
memasuki pulau berkenaan menerusi sistem Laluan Biru yang dikhaskan untuk
golongan kaya-raya sahaja.
Beliau yang mempunyai kekayaan dianggarkan
AS$117 bilion (RM494.50 bilion) dilaporkan membawa isteri dan rombongannya ke
pulau tersebut.
Menurut laporan media, pihak berkuasa Fiji
telah membantu Page bagi memastikan kehadirannya di pulau tersebut
disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai.
Beliau didakwa telah menghabiskan masa selama
beberapa bulan di Fiji dan khabar angin menyatakan Page pernah membeli sebuah
pulau lain di Kepulauan Mamanuca, kata sumber kepada portal berita Insider.
Menurut Insider, Page menaiki
sebuah pesawat dari Hawaii, Amerika Syarikat (AS) ke Lapangan Terbang
antarabangsa Nadi, Fiji.
Beliau diberikan pelbagai barangan perubatan antaranya ialah pelitup muka dan sarung tangan sebelum memasuki pulau tersebut.