BOB KELANANG
Pas ni ibarat bunyi macam guruh tapi tak hujan, kata Ibrahim
Ali. Pemimpin Pas diumpamakan ayam yang pandai berkokok tetapi tidak pernah
bertelor, kata Datuk Ibrahim Ali, Presiden Putra.
Ia merujuk kepada pemimpin Pas yang pandai berkata-kata tetapi
apabila diberikan amanah mentadbir negeri dan negara, tidak berhasil.
“Pas ni macam ayam berkokok tetapi tidak bertelor. Bunyi macam
guruh tetapi tidak hujan,” kata Ibrahim dalam wacana khas beliau dengan Jeming
Hassan malam tadi.
Oleh itu, kata beliau, jika rakyat Kelantan mahu mengubah
kedudukan mereka di negeri itu, mereka perlu mengubah kerajaan.
“Kelantan kena cari pemimpin baharu. Kena ubah dalam pilihan
raya akan datang ini. Kalau tak ubah lagi gak, tak tahulah,” kata beliau.
Bagi bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu, sudah sampai masanya
rakyat Kelantan berbuat demikian selepas 30 tahun ditadbir oleh Pas dan
Kelantan jauh ketinggalan dari negeri-negeri lain.
Namun Ibrahim memberikan ingatan, kalau kerajaan Pas Kelantan
hendak diubah, alternatif yang baik perlu diberikan kepada rakyat.
“Kalau kerajaan Kelantan hendak diubah, kita perlu ada
alternatif yang meyakinkan rakyat dan berjaya.
“Jangan pula ketika rakyat marah, mereka ubah, tetapi selepas
itu pilih ikut suka sahaja tanpa penyusunan yang baik.
“Jika begitu, akan kembali kepada asal juga. Dua kali lima, lima
kali dua,” kata beliau.
Bagi Ibrahim, pengalaman yang ada di Kelantan sudah cukup untuk
memberikan pengajaran kepada rakyat agar Kelantan diubah kepada yang lebih
baik.
“Kena buat pakatan. Saya sedia berbincang dengan mana-mana pihak
tanpa apa-apa sekatan atau syarat,” kata Ibrahim yang pernah melancarkan
gerakan sehingga kerajaan Pas pernah jatuh sebelum ini.