Beberapa Ahli Parlimen dari Umno dan Pembangkang membidas tindakan kerajaan membuka sidang Parlimen lima hari hanya untuk memberi taklimat mengenai Pelan Pemulihan Negara bermula 26 Julai ini.
Antaranya, bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang berkata sidang khas itu sepatutnya untuk membahaskan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat.
“Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja pemerintah jelas ialah untuk bertitah sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, bukan untuk kita pergi ke Parlimen untuk mendengar penerangan atau taklimat dari menteri-menteri.
“Apa yang kamu susah faham dengan titah-titah Agong dan Raja-Raja,” katanya di Facebooknya.
Najib berkata, jika sekadar hanya mahu buat sidang Parlimen untuk beri taklimat selama lima hari berturut maka rakamlah dalam video untuk dimuat naik ke YouTube bagi tontonan.
Sidang Parlimen selama lima hari yang akan berlangsung di Dewan Rakyat pada 26 Julai ini adalah mesyuarat khas bawah penggal ketiga. Dalam takwim Parlimen bagi penggal itu menunjukkan, 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah sesi penerangan daripada menteri-menteri.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut membidas sidang Parlimen hanya baru boleh bersidang untuk berbahas pada September ini.
“Ini bermaksud Ahli Parlimen hanya boleh bertanya soalan kepada menteri di Parlimen bermula bulan September.
“Bestnya jadi menteri Perikatan Nasional (PN), tak perlu jawab sesiapa selama 9 bulan. Boleh ke luar negara, boleh ingkar SOP dan hanya perlu buat video rider dan gimik suap makan sahaja,” katanya.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mempersoalkan fungsi Parlimen jika hanya perlu datang untuk mendengar penerangan.
“Memalukan. Apa fungsi Parlimen jika Ahli Parlimen yang dibayar gaji puluhan ribu hanya perlu hadir untuk dengar penerangan daripada menteri.
“Mana hak kami untuk bersuara dan mengundi. Sudah berbulan “lockdown” tapi masih kes lebih 13,000. Saya dibayar oleh rakyat dan mesti bawa suara mereka,” katanya.