Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang ini susulan
keputusan MKT UMNO menarik sokongan terhadapnya.
Portal
Malaysiagazette melaporkan demikian sambil bersiaran langsung dihadapan pintu
Istana negara hari ini.
Ia susulan tindakan Umno
malam tadi memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Perdana
Menteri, Muhyiddin Yassin serta merta.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata,
keputusan itu dibuat Majlis Tertinggi Umno berpandukan tujuh kegagalan kerajaan
Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Justeru
kata Ahmad Zahid, Umno mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi
membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik untuk satu tempoh yang
terhad.
“Tempoh perdana menteri yang baru akan hanya
memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani
Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan
imunisasi dapat disegerakan.
“Setelah
berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, perdana menteri baru mestilah segera
menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat
untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.
“Ini
penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh
mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang
di-Pertuan Agong,” katanya selepas mesyuarat MT Umno di ibu negara malam ini.
Antara
kegagalan kerajaan PN menurut Zahid termasuk gagal menangani pandemik Covid-19,
menyalahgunakan darurat, gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen,
gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi serta memperkotak-katikkan titah
Agong.
Keputusan
itu dibuat kurang 12 jam setelah Muhyiddin mengumumkan pelantikan Naib Presiden
Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalannya, manakala Hishammuddin Hussein
dilantik sebagai menteri kanan.
Anwar bukan calon PM
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata,
mesyuarat MT malam ini juga mempertegaskan pendirian untuk tidak menyokong
sebarang usaha mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ataupun
Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH)
Pendirian
itu katanya, diambil sebagaimana yang telah diputuskan pada Perhimpunan Agung
Umno yang lalu.
Perhimpunan
Agung Umno pada Mac lalu memberikan mandat kepada Ahmad Zahid dan Majlis
Tertinggi untuk memutuskan bilakah parti itu akan menarik sokongan daripada
kerajaan PN.
Ahmad
Zahid ketika itu berkata dia yakin menteri-menteri Umno akan meletakkan jawatan
apabila keputusan dibuat.
Namun,
tiada pengumuman dibuat oleh Ahmad Zahid malam ini mengenai sama ada Ismail dan
menteri-menteri lain perlu mengundurkan diri atau sebaliknya.
Pelantikan
Ismail sebagai timbalan perdana menteri dipercayai merupakan usaha Muhyiddin
untuk menenangkan Umno dan melengah-lengahkan masa bagi mengekalkan
pentadbirannya.
Tidak
jelas apakah 38 anggota parlimen Umno akan akur terhadap keputusan Majlis
Tertinggi Umno malam ini. Ini kerana majoriti daripada mereka dipercayai berpihak
kepada Ismail dan Hishammuddin.
Berikutan
sokongan yang diberikan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz kepada
Muhyiddin, Umno memerlukan dua ahli parlimen untuk menarik sokongan dari
kerajaan bagi menjadikan parlimen tergantung.
Dan
sekiranya tiga anggota parlimennya menarik sokongan, keadaan ini akan
menyebabkan perdana menteri memperoleh sokongan minoriti.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bersidang pada pukul 8.30 malam tadi secara maya dan berlanjutan sehingga jam 12.30 tengah malam.