Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa kira-kira 50,000 pekerja pembersihan sekolah di seluruh negara berdepan kehilangan pendapatan apabila gaji mereka bakal dipotong sehingga 40 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Petugas sektor perkhidmatan perlu ini mendakwa mereka menjadi mangsa keadaan, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berbeza dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Berdasarkan SOP MKN, sektor pembersihan dibenarkan beroperasi sepenuhnya dengan syarat ketat, sedangkan KPM pula menetapkan hanya 60 peratus sahaja boleh bekerja pada hari bekerja.