Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama
Pas, Mokhtar Senik mempertahankan pendekatan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menggunakan binatang sebagai perumpamaan dalam siri artikelnya.
Mokhtar
bahkan secara menyindir menganggap pihak yang mempersoalkan hal tersebut
sebagai hanya membaca surah Yassin sahaja.
“Lalu
apa peliknya jika TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) mengunakan kalimat binatang
sebagai perumpamaan?
“Orang yang berasa pelik kerana
mereka tidak bertemu ayat-ayat begitu dalam al-Quran.
“Maklumlah
kerana baca al-Quran pun setakat surah Yassin sahaja. Namun, mulut gatal nak
buat ulasan,” sinisnya dalam hantaran di Facebook.
Sebelum
ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang umum dikenali kerap menggunakan
pelbagai jenis nama binatang sebagai perlambangan terutama ketika menyerang
musuh politiknya.
Antaranya,
membandingkan golongan pengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan tupai
dan kera.
Kata
Hadi, tupai dan kera memilih buah-buahan yang baik tetapi ada manusia yang
mencari buah-buahan yang buruk untuk dijual.
Mengulas lanjut, Mokhtar yang
juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu mempersoalkan mengapa perlu ada yang
terasa sambil turut menggunakan binatang sebagai perumpamaan dilihat meniru
Presiden partinya.
“Pastu yang
mereka terasa sangat tu kenapa? Mungkin kerana ada bulu angsa atas kepala kut?”
perli pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu lagi.
Jelasnya,
orang yang selalu membaca al-Quran tidak akan berasa hairan jika banyak ayat
Allah menyebut pelbagai jenis binatang sebagai perumpamaan.
“Dalam
pengajian Balaghah kalimat perumpamaan (At-Tasybih) memainkan peranan yang
penting untuk mencapai kefahaman yang lebih jelas.
“Di
dalam Al-Quran perkataan babi (khinzir) disebut sebanyak lima kali, anjing
(kalbun) sebanyak lima kali, lembu (baqoroh) empat kali, keldai (himar) dua
kali, unta (al-ibil) dua kali dan kera (qirdah) sebanyak tiga kali.
“Manakala
serangga pula disebut di beberapa tempat. Labah-labah (al-ankabut) dua kali,
nyamuk (ba’udhoh) dua kali, semut (namlah) sekali dan lebah (an-nahl) sekali,”
kata Mokhtar lagi.