Bagaimana marah dan bencinya rakyat kepada kerajaan PN sekarang ini adalah realiti yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.
Di mana-mana, di alam nyata atau alam maya, itulah hakikat yang memenuhi atmosfera.
Di media sosial, dengan trend baru merakam ucapan dalam bentuk video, kebelakangan ini telah tampil semakin ramai rakyat biasa yang berani meluahkan rasa benci dan marah mereka, sementara dalam bentuk tulisan perkara itu sudah melumrah sejak sekian lama sebelumnya.
Ada yang meluahkannya dalam bentuk percakapan biasa, sindiran dan tidak kurang melalui lirik lagu yang disesuaikan dengan realiti kegagalan kerajaan.
Setiap hari – lelaki, wanita dan anak muda – ada saja yang berani memuatnaik video kemarahan mereka tentang kerajaan yang gagal dan menyusahkan rakyat ini.
Mereka yang berbuat demikian itu bukanlah wajah-wajah biasa yang memang diketahui selalu mengkritik kerajaan, tetapi merupakan profil-profil biasa yang tidak pernah menampil diri sebelum ini.
Apakah petanda semua ini?
Semua ini menandakan kemarahan dan kebencian rakyat sudah sampai ke tahap yang cukup parah dan terburuk pernah berlaku.
Kemarahan kelompok tertentu kepada kerajaan dan Perdana Menteri pada umumnya adalah perkara biasa, ia berlaku kepada semua kerajaan di dunia ini.
Ketika era Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak sebelum ini, mereka juga mengalaminya, namun apa yang berlaku kepada kerajaan PN dan Mahiaddin Md Yasin sekarang ini, ia ternampak amat luar biasa sekali.
Kegagalan Mahiaddin serta kerajaan dalam mengawal Covid19, mengurus ekonomi dan menjaga rakyat yang dalam kesusahan akibat pandemik itu benar-benar menberi tekanan dan tidak boleh diterima.
Tiada kerajaan dan Perdana Menteri yang seteruk ini dalam mengurus negara lantaran tumpuan Mahiaddin untuk mempertahankan kuasa ternampak begitu berlebih-lebihan berbanding menjaga rakyat yang merupakan pemegang taruh yang sebenar dan utama.
Dalam keadaan biasa, memang rakyat mempunyai kuasa yang terhad untuk menjatuhkan kerajaan, melainkan perlu menunggu pilihanraya setiap lima tahun sekali untuk berbuat demikian.
Hanya jika rakyat sudah berhati kering dan tidak tahan lagi menanggung kesengsaraan, barulah ketika itu ada potensi untuk kebangkitan rakyat digerakkan bagi perletakan jawatan ketua kerajaan.
Setakat sehari dua ini, hati rakyat negara kita rasanya belum sampai lagi ke tahap perlu melakukan seperti yang pernah berlaku di Indonesia, Thailand dan beberapa negara Timur Tengah beberapa tahun sebelum ini.
Tetapi, tahap kemarahan, kebencian dan keinginan menukar kerajaan dan Perdana Menteri barangkali lebih kurang sama saja kemahuannya.
Pilihan yang ditunggu kini ialah pilihanraya di mana di situlah nanti rakyat berhak menggunakan kuasa mereka sepenuhnya untuk menentukan siapa yang harus dijadikan kerajaan dan Perdana Menteri.
Melihat kepada penolakan dan kemarahan rakyat yang terus menaik tahapnya hari demi hari, apalagi setelah UMNO yang merupakan pemegang saham terbesar dalam kerajaan PN sudah pun mengumumkan menarik sokongan, harapan Mahiaddin memenangi pilihanraya akan datang dirasakan amat sukar sekali.
Mahiaddin kini di mata rakyat adalah Perdana Menteri yang tiada lagi sokongan majoriti atau seperti lelaki yang berpakaian koyak di tengah-tengah khalayak, tetapi terus berlagak bagai seorang selebriti.
Ya…hanya seseorang yang tiada lagi rasa malu dalam dirinya saja yang sanggup terus ke sana ke sini dengan pakaian koyak sambil merasakan dirinya adalah pujaan hati.
Lelaki dengan pakaian koyak, realitinya bukan pilihan untuk diraikan lagi.
(ShahbudinHusin 15/07/2021)