Ahli
Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak sekiranya beliau
diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri
interim.
Beliau yang juga dikenali
sebagai Ku Li berkata, sesiapa sahaja termasuk dirinya akan memikul
tanggungjawab itu demi kepentingan rakyat sekiranya negara sekali lagi berdepan
dengan krisis politik seperti yang berlaku pada Februari tahun lalu.
“Kalau dengar kepada
banyak laporan takut kita hendak mencuba pun tetapi kalaulah itu menjadi
tanggungjawab sesiapa sahaja mesti memikulnya kerana demi kepentingan rakyat
dan negara,” katanya pada program Bersama Ku Li yang disiar di semua platform
Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian
ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam
program bual bicara yang berlangsung kira-kira sejam berhubung kesediaan beliau
untuk menjadi Perdana Menteri interim sekiranya negara sekali lagi berdepan
krisis politik.
Nama Tengku Razaleigh atau
lebih mesra dengan panggilan Ku Li antara pemimpin yang turut disebut untuk
mengambil alih kepimpinan negara susulan wujud kempen gerakan #kerajaangagal
secara maya oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini.
Pada 24 Februari tahun
lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad melakar sejarah negara apabila menjadi Perdana
Menteri interim pertama di Malaysia.'
Sejarah itu terlakar
apabila Dr Mahathir menghantar surat peletakan jawatannya ketika menghadap Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana
Negara pada tarikh sama.
Susulan itu, beliau
dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana
Menteri yang baharu.