KLUSTER KILANG
1. Pagi tadi di Dewan Rakyat, Menteri MITI menyatakan kes yang
banyak bukan sebab kluster kilang. Dalam 400,000 sampling kes yang diambil
hanya 8% saja yang kilang sumbangkan. Beliau siap tunjuk playcard dengan chart.
Dia juga kata bukan MITI saja yang buat keputusan, MKN yang tetapkan senarai
positif sektor yang dibuka. MITI hanya selaraskan sistem yang ada.
2. Saya percaya apa yang Menteri kata di mana MITI hanya
menyelaras. Betul seadanya, banyak sektor yang di bawah kawal seliaan
Kementerian lain. Kalau ada isu tak patut salahkan MITI sahaja. Pengalaman saya
bekerja dengan pegawai MITI, mereka antara pegawai Kerajaan paling berintegriti
pernah saya jumpa. Hanky panky kurang didengari, professionalisme tinggi. Kerja
sampai lewat malam, cuti hujung minggu pun selalu hilang. Jadi, melihat mereka
dibelasah teruk sebegitu, terasa juga sebab pernah bersama mereka dulu.
3. Namun demikian, apa yang saya sedikit kurang paham adalah
kenyataan Menteri MITI bahawa kluster kilang tidak sangat menyumbang kepada
peningkatan kes. Saya sertakan keratan-keratan akhbar di bawah yang menyatakan
sebaliknya. Bukan saja dari akhbar yang berat kepada pembangkang seperti
Malaysiakini, malah akhbar Kerajaan seperti Harakah dan Utusan juga menyatakan yang
sama. Persoalannya, kalau betul bukan kluster kilang yang menyumbang kepada
peningkatan kes, kenapa naratif ini dibiar terlalu lama sampai melekat di
kepala kita?
4. Seperkara lagi, terdapat percanggahan kenyataan wakil
daripada pihak Kerajaan. KP Kesihatan berulang kali keluar kenyataan, kes
kluster kilang paling banyak. Menteri MKN dan sekarang TPM juga pernah
keluarkan posting, dia tutup pintu depan, ada orang buka pintu belakang. Secara
halus, pada mata rakyat ia menuding ke Menteri MITI. Tidak pernah dinafikan
oleh kem DSIS, malah tambah menganjing dengan posting makan ayam kunyit.
Makanya, susah bagi rakyat nak percaya bila Menteri Kerajaan pun keluar
kenyataan lain-lain.
5. Tadi di Parlimen, Menteri angkat playcard untuk tunjukkan
sektor perkilangan tak bersalah dalam ini gambar. Sampling yang dibuat adalah
berlandaskan 400,000 kes dan tidak dinyatakan tarikhnya dari bila ke bila.
Makanya, susah bagi kami Rakyat nak menerima memandangkan kes sekarang pun dah
lebih 1 juta dan kematian pun sangat tinggi. Maka, adakah relevan atau tepat
sampling yang dibuat hanya untuk 400,000 kes tanpa tarikh yang jelas. Data yang
tidak jelas atau kurang konkrit boleh menyebabkan ramai sangsi dengan dapatan
yang dibuat Menteri.
6. Macam yang tuan puan tahu, kes harian Covid Malaysia semalam
dah cecah 17,000 kes. Kes secara total sejak wabak bermula dah capai 1,013,438.
Jika kita melihat dari aspek data yang ada, Malaysia ada 32.75 juta penduduk.
Ini bermakna 3.09% rakyat Malaysia telah dijangkiti wabak Covid-19.
Mari kita tengok pula kedudukan kita di negara ASEAN:
i. Indonesia 3.13m kes / 276.36m penduduk = 1.13%
ii. Thailand 497,302 kes / 69,950,850 penduduk= 0.71%
iii. Brunei 321 kes/ 441,532 penduduk = 0.07%
iv. Singapura 64,054 kes / 5,896,689 penduduk = 1.09%
v. Vietnam 94,913 kes/ 98,168,833 penduduk = 0.096%
vi. Filipina 1.54m kes/ 111,046,913 penduduk= 1.38%
vii. Laos 4,620 kes/7,387,329 penduduk= 0.06%
viii. Myanmar 265,000 kes/ 55M penduduk= 0.48%
ix. Cambodia 72,104 kes/ 16,946,438 penduduk= 0.42%
Jelas di kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia punya rekod
terburuk kes jangkitan berbanding dengan jumlah penduduk. Masihkah kita tak
sedar?
7. Cuba kita bandingkan dengan negara Asia Pasifik pula. Tuan
puan boleh tengok kedudukan kita. Masih Malaysia mengungguli dengan 3.09%.
i. Australia 32,917 kes/ 25,788,215 penduduk= 0.13%
ii. New Zealand 2,862 kes/ 4,863,650 penduduk= 0.06%
iii. India 31,369,000 kes / 1.394B penduduk=2.25%
iv. China 92,529 kes/ 1.411B penduduk = 0.006%
8. Indeks antarabangsa pun turut highlight “kejayaan” Malaysia
di mata dunia:
i. Bloomberg June Covid Resilience Ranking, Malaysia dapat
tempat ke-50 daripada 53 negara;
ii. CNBC letakkan Bursa Saham Malaysia sebagai terburuk di Asia
Pasifik dan ke-4 terburuk di dunia;
iii. Nikkei Covid-19 Recovery Indeks letakkan Malaysia di tangga
114 di kalangan 120 negara; dan
iv. The Economist letakkan Malaysia di tangga paling bawah
(tempat ke-50 dalam 50 negara utama ekonomi) dalam Global Normalcy Index (Covid
Centred Index).
9. Makanya, tuan puan tengoklah negara kita. Makin merudum,
makin tenat keadaannya. Itu sebab saya nak katakan paling penting untuk kita
tepuk dada, muhasabah diri. Kes makin banyak, negara makin susah. Namun kalau
kita masih in-denial dan duduk dalam bubble, kita bermasalah. Kalau betul bukan
kluster kilang yang menyumbang, Rakyat perlu tahu apa sebenar puncanya? Kenapa
dengan segala macam PKP, PKPD dan Darurat, kes makin meningkat? Bukan ke tak
masuk akal?
10. Esok Parlimen hari kedua. Apa yang diharapkan ialah daripada
terpekik terlolong, salah menyalah, pikirkan la Rakyat. Bahas la dengan elok.
Kepimpinan yang baik harus ditunjuk. Masa tengah krisis, rakyat makin susah,
memang berbulu mata tengok Wakil Rakyat sumpah seranah. Ingat la, “the power in
people is stronger than the people in power”. Sesungguhnya, kuasa YB-YB di
Parlimen, Rakyat yang punya…
Wallahu ‘alam.
Salam hormat,
Liyana Marzuki