KEPUTUSAN MT UMNO SEMALAM LEMAH, KERIS UNTUK MENIKAM MUSUH SEPERTINYA SEDANG TERTUSUK DIRI SENDIRI

 

Sebagaimana dijangka dan ditulis dalam artikel pagi tadi, Mahiaddin Md Yasin akhirnya terus memperlihatkan sikap tiada maruah, tiada harga diri dan tiada perasaan malu berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Dengan UMNO sudah menarik sokongan terhadapnya dan dari segi moral sudah tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri, beliau kini berselindung di sebalik tafsiran undang-undang bersifat melindunginya oleh Peguam Negara.

Dalam kenyataan media oleh Peguam Negara, Idrus Harun lewat petang tadi setelah pergi ke rumah Mahiaddin pada paginya, beliau mengatakan, penarikan sokongan oleh UMNO tidak membuktikan dari segi fakta yang jelas bahawa Perdana Menteri sudah kehilangan sokongan.

Menurut beliau, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh mereka sendiri, bukan kenyataan media oleh parti atau pemimpin politik.

“Oleh itu, dari segi undang-undang, Perdana Menteri dan jemaah menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan,” katanya.

Dalam hal ini, sedarkah Idrus bahawa ketika dilantik sebagai Perdana Menteri dahulu, Mahiaddin juga tidak pernah mendapat sokongan secara jelas daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat?

Pada waktu itu, yang menyokong dan mengesahkan beliau mempunyai sokongan majoriti hanyalah ikrar oleh ketua-ketua parti saja.

Misalnya Mahiaddin yang merupakan Presiden Bersatu memberi gambaran semua Ahli Parlimen Bersatu pada ketika itu menyokongnya, walhal antara lima atau enam Ahli Parlimen parti itu yang memihak kepada Tun Mahathir memang diketahui umum tidak memberi sokongan kepadanya.

Lebih daripada itu, Mahiaddin tidak pernah sama sekali cuba mengabsahkan sokongan majoritinya yang dimilikinya di dalam Dewan Rakyat.

Paling dahsyat, kerana takut dijatuhkan, beliau kemudian turut menggantung Parlimen yang berselindung di sebalik Covid19 dengan mencadangkan perlaksanaan darurat.

Hakikatnya, darurat sejak Januari lalu bukan saja gagal dan tidak berfungsi untuk membendung Covid19, bahkan kes makin bertambah hari demi hari sehingga segala jenis PKP telah dilaksanakan dan sejak beliau menjadi Perdana Menteri juga, buat pertama kalinya umat Islam tidak boleh balik kampung menyambut Hari Raya selama dua tahun berturut-turut.

Kalau jadi Perdana Menteri pun hanya dengan sokongan ketua-ketua parti, maka di mana salahnya untuk menjatuhkan juga melalui kenyataan media ketua parti?

Tambahan lagi, kalau mahu ditunggu mahu dibuktikan dengan fakta yang jelas di Parlimen, sediakah Mahiaddin bertukar menjadi berani dengan membenarkan usul percaya atau usul tidak percaya dibentangkan dalam waktu terdekat ini?

Melalui sidang Parlimen yang ditetapkan selama lima hari bermula 26 Julai ini, apakah ada jaminan usul tersebut akan diberi laluan?

Kiranya usul terus tidak diberi laluan, bilakah kejelasan sokongan Ahli-Ahli Parlimen kepada Mahiaddin ada peluang untuk dibuktikan?

Begitu pun, dengan tafsiran Peguam Negara bagi tujuan mempertahankan Mahiaddin ini, ia juga sebenarnya menyerlahkan kelemahan UMNO dalam keputusan MT yang dibuatnya lewat malam semalam.

Keputusan MT UMNO yang sekadar menarik sokongan terhadap Mahiaddin, tetapi tidak mengarahkan Ahli-Ahli Parlimennya yang berada dalam kerajaan untuk meletakkan jawatan, akhirnya membuatkan ketetapan itu seperti tidak berguna.

Ketetapan UMNO itu nampaknya tidak menggugat langsung kedudukan Mahiaddin, kabinet dan kerajaan yang sedang diterajuinya.

Desakan Zahid Hamidi bersama keputusan menarik sokongan itu agar Mahiaddin meletak jawatan juga hanya sia-sia saja.

Ini kerana hanya pagi tadi, selang beberapa jam setelah keputusan MT itu diumumkan, Ismal Sabri Yaakob yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammuddin Hussein yang dinaikkan sebagai Menteri Kanan sudah pun pergi ke rumah Mahiaddin bersama Peguam Negara yang dipercayai untuk membincangkan bagaimana untuk menyelamatkan diri berikutan ketetapan UMNO itu.

Tidakkah ini pelik, UMNO buat ketetapan tidak lagi menyokong Mahiaddin pada sebelah malam, tetapi dua pemimpin UMNO sendiri menunjukkan mereka bersama dan menyokong Mahiaddin pada sebelah pagi kemudiannya?

Hari-hari seterusnya pula, sementara pemimpin UMNO yang tiada jawatan dalam kerajaan terus mengkritik dan membalun kerajaan PN serta Mahiaddin, tetapi pemimpin lain yang berjawatan dalam kerajaan terus bersama dan mempertahankan Perdana Menteri.

Kiranya keputusan menarik sokongan yang dibuat MT itu turut disertai dengan arahan meletak jawatan daripada kerajaan, pasti apa yang berlaku sekarang tidak berlaku dan Mahiaddin akan jatuh dengan serta-merta.

Jika diimbas kembali, Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan PAU2020 Mac lalu setelah pewakilan memberi mandat kepada dirinya dan MT untuk menentukan masa yang sesuai bagi menarik sokongan daripada kerajaan PN, turut mengatakan ia akan disertai dengan penarikan diri menteri dan timbalan menteri daripada kerajaan.

“Kalau inilah menjadi keputusan mereka, saya yakin rakan-rakan kita dalam MT yang mandatnya diberi kepada kita semua terutama menteri dan timbalan menteri, pengerusi GLC, malah seluruh ahli Parlimen akan 100 peratus akur dengan keputusan parti untuk menarik diri daripada ketajaan PN,” demikian antara petikan ucapannya.

Persoalannya, kenapa sekarang, setelah mengumumkan menarik sokongan terhadap Mahiaddin, tetapi ia tidak disertai dengan penarikan diri atau meletak jawatan daripada kerajaan?

Dengan kedegilan Mahiaddin yang terpamer ingin terus berpaut pada kuasa, sementara UMNO pula didapati lemah dalam keputusan yang dibuatnya, disertai dengan pemimpin UMNO dalam kerajaan sendiri lebih mementingkan jawatan daripada perjuangan dan enggan meletak jawatan, silap-silap Mahiaddon akan terus kekal untuk beberapa waktu lagi atau sehingga Parlimen dibubarkan.

Apa jadi kepada Zahid Hamidi dan UMNO ketika itu nanti?

Dalam waktu yang sama, dengan kuasa, helah mentafsir undang-undang yang berterusan dan ditambah dengan pelbagai “scheme of things” yang mampu ditawarkan oleh Mahiaddin, bukan saja hasrat UMNO untuk menjatuhkan Perdana Menteri tidak menjadi kenyataan, malah tidak mustahil keris yang dihunus untuk menikam musuh akhirnya membuatkan Zahid Hamidi sendiri yang akan terpelanting dan tersemban entah ke mana sebelum detik PRU15 ditetapkan. 

(ShahbudinHusin 08/07/2021)