JAMZURI ARDANI
HARI INI adalah Hari Arafah. Eloklah juga kiranya kita dapat
memahami keberkatan Hari Arafah;
- Ia adalah hari di mana Allah menurunkan satu ayat yang sangat
penting di dalam Al-Quran, iaitu “Pada hari ini Aku sempurnakan agama kamu, dan
Aku telah cukupkankan nikmatKu ke atas kamu, dan Aku telah redha Islam itu
agama kamu,” - Al-Maidah:3. Seorang Pendita Yahudi dilapurkan pernah berkata
kepada Umar Al-Khattab RA, “Sekiranya ayat ini diturunkan kepada kami, nescaya
kami akan mengambil hari ianya diturunkan sebagai Hari Kebesaran buat kami”.
- Allah bersumpah menjadikannya sebagai “Hari Kesaksian”. Ketika
menafsirkan ayat Al Buruj ayat 3 ‘وَشَاهِدٍ وَّمَشۡهُوۡدٍؕ (Demi yang
menyaksikan dan yang disaksikan), Ibn Abbas berkata, “Adapun Syaahid adalah
Hari Jumaat, manakala Masyhuud adalah Hari Arafah”. Maknanya, hari Jumaat akan
menjadi saksi di hadapan Allah bagi mereka yang mengerjakan solat Jumaat,
manakala Allah dan para malaikat pula menjadi saksi bagi hamba-hambaNya pada
Hari Arafah.
- Nabi SAW bersabda, “Haji adalah Arafah” [HR Ahmad, Tirmidzi,
Abu Daud, Nasa’i, & Ibn Majah). Ia sudah cukup menjelaskan betapa
pentingnya Hari Arafah yang menjadi intipati kepada seluruh ibadah haji itu
sendiri.
- Berpuasa pada Hari Arafah boleh menghapuskan dosa-dosa setahun
yang lalu dan setahun yang akan datang. Nabi SAW bersabda apabila ditanya
berkenaan berpuasa pada Hari Arafah, "Diampunkan dosa setahun lalu dan
setahun akan datang." [HR Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi].
Berpuasa satu hari bagi mendapat keampunan untuk dua tahun. Pastinya tiada hari
lain yang sebaik Hari Arafah.
- Hari Arafah adalah hari pengampunan dari Allah di mana manusia
diselamatkan dari api neraka. Di dalam satu hadith Nabi SAW bersabda, “Tidak
ada satu hari lain yang mana Allah membebaskan lebih ramai hamba-hambaNya dari
api neraka (mengampunkan dosa-dosa mereka) melainkan pada Hari Arafah” [HR
Muslim].
- Hari Arafah adalah hari yang mana Syaitan merasa terhina dan
kecewa kerana melihat banyaknya rahmat dan pengampunan dari Allah ke atas
manusia. Cukuplah dengan penjelasan dari sabda Nabi SAW, “Hari yang paling baik
dalam satu tahun ialah Hari Arafah”. [HR Ibn Hibban]
Ambillah manfaat sebaiknya dari Hari Arafat bersama keberkatan
dan keampunan yang ada padanya. Semoga Allah menjadikan kita semua di kalangan
hamba-hambaNya yang sholeh.