Keadilan Pahang melahirkan rasa simpati kepada beberapa penduduk
di sekitar Indera Mahkota dan Kuantan yang mengadu bahawa mereka telah diugut
untuk diambil tindakan sekiranya mereka mengibarkan bendera putih bagi memberi
isyarat mereka perlukan bantuan segera.
Sewajarnya kita membantu mereka yang terpaksa bertindak
sedemikian demi mendapatkan sedikit bantuan makanan untuk keluarga mereka. Ini
bukan isu politik tetapi ini soal kemanusiaan. Di Indera Mahkota, sewajarnya
Ahli Parlimen Indera Mahkota, seorang menteri di bawah kerajaan tebuk atap
sekarang masih "berhutang" dengan penduduk Indera Mahkota yang
mengundinya dahulu. Beliau telah mengkhianati mandat yang diberikan dan beliau
patut turun membantu masyarakat di parlimen tersebut bukan membiarkan mereka
ditekan dan diugut sedemikian rupa. Paling menyedihkan pihak berkuasa telah
digunakan untuk menakutkan penduduk.
Mengapa perlu takut kepada bendera putih? Apakah kamu bimbang
semakin ramai mengibarkan bendera putih membuktikan kerajaan pusat dan kerajaan
negeri telah gagal ?
Keadilan Negeri Pahang membantah sekeras-kerasnya tindakan tidak
berperikemanusiaan itu. Kami telah mengarahkan semua jentera parti di seluruh
Pahang untuk memantau mana-mana kawasan dan memberikan bantuan sekadar
keupayaan kami agar rakyat tidak mati kelaparan.
Terima kasih kepada jentera Keadilan Cabang Indera Mahkota dan
Kuantan di bawah YB Puan Hajjah Fuziah Salleh,
MP Kuantan, YB Lee Chean Chung,
Adun Semambu, YB Sim Choon Siang, Adun Teruntum serta seluruh jentera dan
sukarelawan yang terus menghantar bantuan ke rumah mereka yang memerlukan.
Terus kibarkan bendera putih jika anda perlukan bantuan kerana tiada
undang-undang yang melarangnya. InsyaAllah, kami akan sampai ke rumah anda.
WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Ketua Komunikasi
KEADILAN Pahang