"Saya sedar dan insaf, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar" - Hishammuddin
Astro Awani
Julai 7, 2021
Menurut Datuk Seri Hishammuddin, beliau sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik COVID-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. - Foto H2O Images
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan melantiknya sebagai Menteri Kanan Luar.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, dengan pelantikan itu, beliau akan turut mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik COVID-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya.
"Saya juga percaya, hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak, kita mampu keluar daripada krisis ini bersama-sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, apa juga jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian beliau tetap sama iaitu hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati.
Justeru, beliau berdoa, semoga Allah meredai keputusan Perdana Menteri itu.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan dengan mengekalkan portfolio Kementerian Luar.
Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri yang kini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Di samping itu, Perdana Menteri turut bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan PPN.